Sunday, November 8, 2009

Hobin Jang Hobin 3 Red Warriors 1


Shahurain, Hairudin, Zaquan Adha meledak untuk 'Rusa', Indra Putra gegar buat 'Kijang'

PASUKAN Negeri Sembilan meraikan kejayaan mereka setelah berjaya menjuarai perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi. Pada perlawanan itu Negeri Sembilan berjaya menjulang Piala Malaysia, piala yang paling berprestij di dalam saingan Liga Malaysia setelah menewaskan Kelantan dengan 3-1.

PERANG psikologi sebelum sepak mula final Piala Malaysia, malam tadi jelas milik Kelantan yang mencipta 'lautan merah' apabila ribuan penyokong 'The Red Warriors' hampir menguasai segenap pelusuk Stadium Nasional di Bukit Jalil.

Kehadiran penyokong itu yang merentang kain dan sepanduk dengan kata-kata buat mengapikan semangat pemain negeri sebelum menentang Negeri Sembilan mencetus senario penuh berwarna di gelanggang kira-kira empat jam sebelum saingan memburu mahkota kejuaraan itu dimulakan.

Antara kain rentang yang terserlah adalah laungan semangat ‘Gomo Klate Gomo’, ‘40 tahun menanti Piala Malaysia milik kami’, ‘The Red Warriors... History in the Making’.

Turut kelihatan, ‘Piala Malaysia Hok Kito, ‘Kito anak Kelate, ‘Wira Merah, Tanah ‘Merah’, ‘Mari puok kito, pakat sokong.’


Dentuman mercun dibunyikan acap kali kedengaran juga menyumbang kepada kemeriahan serta menggamatkan suasana di dalam stadium.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa turut dihargai atas kejayaannya membawa Kelantan ke final Piala Malaysia pertama dalam 39 tahun dengan kain rentang ‘Terima Kasih dan Syabas Tan Sri Presiden Kafa...Jasamu Dikenang’.

Nasihat untuk tidak membawa bendera parti politik ke dalam stadium tidak diendahkan apabila bendera parti kerajaan Kelantan diusung mengelilingi Lautan Merah.

Sementara itu sikap ghairah untuk meraikan penampilan final Piala Malaysia pertama selepas 39 tahun menyaksikan ribuan penyokong Kelantan menyerbu masuk ke stadium sebaik pintu masuk dibuka, petang semalam.

Sebaik pintu merah dibuka pada 4.51 petang, penyokong Kelantan yang mengatasi penyokong Negeri Sembilan dengan nisbah 4:1 berasak-asak memasuki stadium umpama tsunami merah.

Empat pegawai polis yang mengawal pintu pagar itu jelas tidak dapat membendung lagi lautan merah itu sehinggakan pintu pagar hampir dilihat remuk dek tahap kegilaan yang sudah lama tidak disaksikan dalam bola sepak tanah air.

[Begitulah senario perlawanan akhir piala malaysia edisi 2009 dimana N.9 telah menewaskan Kelantan dengan jaringan 3 berbalas 1. N.9 telah mencatatkan sejarah bagi tahun 2009 ini dengan bergaya dimana sepanjang perlawanan piala malaysia ini tidak pernah di tewaskan oleh mana-mana pasukan. Syabas juga diucapkan buat pasukan Kelantan yang digelar Red Warriors kerana telah berjaya mara ke perlawanan akhir piala malaysia ini....sungguh pun kalah masih berbisa, buat penyokong kelantan tabahkan hati teruskan menyokong Red Warriors]

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails