Wednesday, November 25, 2009

Berapa Banyak Tangguh Daaa...


Mahkamah Rayuan gantung sementara kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam menangguhkan sementara keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah pada 16 November lalu berikutan kegagalan wakilnya, Datuk Abu Hassan Sarif hadir dua kali berturut-turut persidangan pada April dan Ogos lalu.

Berikutan keputusan sebulat suara panel tiga hakim itu, perisytiharan Mahkamah Tinggi supaya pilihan raya kecil Kota Siputeh diadakan, digantung sementara sehingga Mahkamah Rayuan memutuskan rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Abu Hassan.

SPR juga tidak perlu mengemukakan writ pilihan raya yang seharusnya difailkan hari ini bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari. Berdasarkan undang-undang, pilihan raya yang hendak diadakan tidak boleh dibatalkan jika SPR sudah mengeluarkan writ berkenaan.

Panel hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Sulong Mat Jeraie dan dianggotai Datuk Kang Hwee Gee serta Datuk Abd Aziz Abdul Rahim, membuat keputusan berkenaan selepas mendapati wujud keadaan luar biasa yang memungkinkan penangguhan itu.

Sulong ketika membacakan penghakiman dalam prosiding hampir empat jam setengah sejak jam 3.15 petang, berkata mengikut Perintah 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan perintah penangguhan sementara bagi mengelakkan pilihan raya yang tidak perlu serta membazirkan wang rakyat.

"Mahkamah bersetuju dengan hujahan SPR mengenai keadaan luar biasa, iaitu kewujudan dua wakil rakyat di kawasan berkenaan jika perintah penangguhan tidak diberikan terhadap keputusan sebelum ini yang memerintahkan pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 dari tarikh writ pilihan raya yang seharusnya difailkan esok (hari ini).

"Mahkamah juga berpendapat tiada pihak yang akan mengalami prejudis apabila membenarkan permohonan SPR menangguhkan sementara pelaksanaan mengadakan pilihan raya kecil berkenaan," katanya.

Pada prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said mewakili SPR, Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Abu Hassan dan Sulaiman Abdullah mewakili Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan Kuasa-kuasa Khas), Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin mengekalkan perintahnya pada 16 November lalu bahawa kerusi DUN Seputeh kosong dan Abu Hassan bukan lagi wakil rakyatnya. Berikutan itu, SPR dan Abu Hassan memfailkan permohonan untuk menangguhkan keputusan berkenaan.

Terdahulu, ketika berhujah, Kamaluddin berkata, wujud keadaan luar biasa yang membolehkan penangguhan pelaksanaan perintah.

"Jika SPR menetapkan tarikh penamaan calon serta pengundian dan sekiranya rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dibenarkan kemudian, maka pilihan raya kecil itu adalah pembaziran dana awam," katanya.

Sulaiman pula berhujah, jika mahkamah membenarkan penangguhan, ia akan menghalang struktur perlembagaan kerana kerusi berkenaan sudah diisytiharkan kosong.

"Pilihan raya harus diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan esok (hari ini) jika kerusi itu diisytiharkan kosong mahkamah.

"Apatah lagi, tiada keperluan segera untuk Mahkamah Rayuan memberikan penangguhan sementara kerana mahkamah boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu," katanya.

Mohd Hafarizam ketika ditemui di luar mahkamah, berkata pihaknya sudah memfailkan perakuan segera bagi mempercepatkan prosiding kes berkenaan.

[At last tangguh jugak kes ADUN siputeh ni...memang dah jangka. Mahkamah memang suka bab tangguh menangguh nie, alasan yang diberikan membazirkan wang rakyat....ishh..ishh..ishhh alasan yang cukup kukuh untuk mereka, tetapi bagi rakyat alasan itu cukup SEDEI]

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails