Thursday, December 30, 2010

Sejarah Terhasil Malaysia Juara Piala Suzuki AFF 2010

MALAYSIA mengesahkan status sebagai ‘Raja Asia Tenggara’ apabila dinobatkan juara baru Piala Suzuki AFF edisi kelapan apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam.

Kejayaan ini membolehkan Malaysia mencipta sejarah meraih kejuaraan kali pertama Piala AFF Suzuki sepanjang 14 tahun kejohanan ini mula dilangsungkan serta menjadi pasukan keempat bergelar juara selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Skuad Harimau Malaya yang turun dengan bekalan tiga gol pada aksi perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno nyata tidak gentar dengan sorakan kira-kira 95,000 penyokong Sang Garuda di dalam stadium.

Mereka sebaliknya turun dengan penuh bersemangat dan bijak mengawal permainan bagi mengekalkan kelebihan tiga gol yang dimiliki hasil kemenangan di perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Ahad lalu.

Separuh masa pertama memang mendebarkan untuk jutaan rakyat Malaysia apabila Indonesia yang turun untuk mencari jaringan besar melancarkan serangan sejak minit pertama perlawanan lagi dengan sokongan kira-kira 200,000 penyokong di luar dan di dalam stadium.


Gandingan Cristian Gonzales dan Irfan Haarys Bachdim nyata menggugat apabila gandingan dua ''pemain asing' itu kerap kali menguji gawang Malaysia yang dikawal rapi Khairul Fahmi Che Mat.

Serangan bertali arus Indonesia itu akhirnya membuahkan hasil dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Australia, Peter Daniel Green selepas pemain pertahanan kanan, Mohd Sabre Mat Abu tersentuh bola di dalam kotak penalti.

Namun kecemerlangan Khairul Fahmi menafikan gol apabila menangkap kemas sepakan kapten Indonesia, Firman Utina. Malah penjaga gol dari Kelantan itu berjaya menggagalkan beberapa percubaan lawan di separuh masa kedua walaupun 'diserang dengan laser' oleh penyokong Indonesia ketika bersedia untuk menghadapi sepakan sudut dan percuma pada 10 minit pertama.

Malaysia, turun dengan jersi biru dan berseluar hitam bagaimanapun berjaya bertahan sepanjang 45 minit pertama walaupun hampir keseluruhan permainan dikuasai lawan yang tidak mengenal erti putus asa menyerang Malaysia dengan sekurang-kurang 10 percubaan berbahaya dilancarkan ke kubu negara.

Ia bagaimanapun dinafikan dengan kecekapan Khairul Fahmi serta persefahaman yang tinggi dikalangan pemain pertahanan yang diketuai oleh dua pemain muda, Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas.

Bersambung babak kedua, anak-anak buah Alfred Riedl terus mengasak namun usaha mereka itu memakan diri apabila melalui satu serangan balas Malaysia menjaringkan gol melalui rembatan kencang Mohd Safee Sali pada minit ke-53 untuk gol kelimanya pada kejohanan ini untuk menceriakan kira-kira 500 penyokong Harimau Malaya yang hadir di Jakarta.

Gol itu juga mengesahkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak dengan lima gol meninggalkan ayam tambatan Indonesia Gonzales yang hanya mampu menjaringkan tiga gol.

Semakin terdesak untuk menjaringkan gol, Indonesia melakukan dua pertukaran serentak dengan mengeluarkan pemain berdarah kacukan Indonesia-Belanda, Irfan Haarys Bachdim dengan memasukkan bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas dan Eka Ramdani yang menggantikan kapten pasukan, Firman Utina.

Ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal bertindak balas dengan segera apabila mengeluarkan pemain tengah, Amar Rohidan untuk digantikan dengan pemain pertahanan, Mohd Razman Roslan. untuk menambahkan kesukaran Sang Garuda yang perlu mencari sekurang-kurangnya lima gol.

Namun usaha tidak mengenal putus asa akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan pemain pertahanan, Mohammad Nasuha pada minit ke-71 menewaskan Khairul Fahmi untuk menggamatkan stadium.

Dengan sorakan penyokong Sang Garuda serta letusan bom asap. Muhammad Ridwan menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-87 untuk keputusan 2-1 itu dan kekal sehingga wisel penamat ditiup bagi menobatkan Malaysia sebagai juara baru Piala AFF Suzuki 2010.

Monday, December 27, 2010

Piala Suzuki AFF 2010 - Malaysia 3 - Indonesia 0


Malaysia membawa bekalan selesa ke Jakarta selepas menumpaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala AFF-Suzuki 2010 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di Kuala Lumpur malam ini.

Mohd Safee Mohd Sali menjadi wira negara apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-59 dan 71, sementara Mohamad Ashari Samsudin menyumbang gol pada minit ke-67.

Perlawanan timbal balik akhir akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada Rabu ini bagi menentukan siapa yang bakal menjulang kejuaraan edisi kali ini.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton, Malaysia bermula garang dengan melakukan asakan bertali arus ke arah gawang Indonesia pada babak separuh masa pertama dengan mempamerkan corak permainan yang selamat.

Skuad 'Harimau Malaya' dan skuad 'Garuda' masing-masing melakukan asakan demi asakan namun buntu dalam pencarian gol sehingga wisel rehat dibunyikan.

Selepas rehat, perlawanan yang baru bermula 10 minit dicemari dengan insiden pancaran laser oleh penyokong yang menyebabkan jurulatih Indonesia, Alfred Riedl memprotes kepada pengadil, Toma Masaaki dari Jepun, dan akibatnya permainan terhenti selama lima minit bagi meredakan keadaan yang tegang di kalangan penyokong kedua-dua negara.

Baling botol air

Sepanjang tempoh itu, keadaan dikeruhkan lagi apabila penyokong Indonesia mula membaling botol air mineral ke dalam padang dan diikuti oleh letupan bunga api yang dihalakan ke dalam padang oleh penyokong Malaysia.

Sejurus selepas itu, kedua-dua pasukan mula mempamer corak permainan yang lebih agresif namun anak didik bekas pemain kebangsaan, K Rajagobal nyata lebih unggul apabila Safee Sali menjaringkan gol pertama Malaysia pada minit ke-59 hasil daripada lorongan bola yang diterima daripada Norshahrul Idhlan Talaha dalam kotak penalti.

Lapan minit kemudian, gawang Indonesia yang dikawal Markus Harison Rihihina sekali lagi dibolosi apabila Mohamad Ashari Samsudin, yang menggantikan Amirulhadi Zainal, membuat rembatan jarak dekat kira-kira dua meter dalam kotak penalti hasil umpanan Norshahrul yang terdahulu melepasi tiga benteng lawan.

Asakan bertubi-tubi pemain Malaysia sekali lagi berhasil menembusi gol Indonesia apabila Mohd Safee menanduk masuk bola hasil hantaran daripada luar kotak penalti oleh Mahalli Jasuli pada minit ke-71.

Tersentak dengan jaringan tiga gol, Indonesia cuba bangkit untuk mencari gol tunggal namun tidak berjaya hingga tiupan wisel penamat.

Rajagobal dalam sidang akhbar selepas perlawanan berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian anak buahnya malam ini.

"Pada separuh masa pertama pemain bermain dengan cara bertahan dan menukar taktik selepas rehat. Pada masa rehat saya beritahu pemain bahawa inilah sahaja peluang pemain untuk mendapat bekalan selesa ke Jakarta nanti.

Hilang fokus

"Saya berbangga dengan pencapaian malam ini walaupun perlawanan malam ini dicemari insiden yang kurang disenangi oleh para penyokong, namun pemain negara tidak hilang fokus," katanya.

Sementara itu Riedl berkata perlawanan timbal balik akhir merupakan tugas yang berat bagi pemainnya kerana mereka perlu mengatasi agregat gol yang besar untuk merangkul gelaran juara Piala AFF-Suzuki.

"Gol pertama Malaysia memulakan segalanya apabila pasukan Indonesia mulai hilang fokus terhadap permainan. Saya rasa peluang agak tipis untuk menang di Jakarta, tapi kami perlu ambil pelbagai risiko dalam perancangan nanti," katanya.

Bagi Mohd Safee yang menjadi penjaring terbanyak pada kejohanan ini dengan empat gol, katanya beliau tidak menyangka dapat menyumbang dua lagi gol pada malam ini.

"Saya sangat yakin dengan persembahan saya dan rakan-rakan yang lain dan kami akan membawa momentum ini Rabu nanti di Jakarta," kata Mohd Safee, sambil menambah beliau berhajat untuk bermain dalam liga yang kompetitif di Indonesia selepas ini jika diberikan peluang.

Senarai pemain:

MALAYSIA: Mohd Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim (ketua pasukan), Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Amri Yahyah), Amar Rohidan, S Kunanlan, Mahalili Jasuli (Mohd Sabre Mat Abu), Mohd Amirulhadi Zainal (Mohamad Ashari Samsudin), Khairul Fahmi Che Mat (GK), Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadhli Mohd Shas.

INDONESIA: Markus Harison Rihihina (GK), Mohammad Nasuha, Zulkifli Syukur, Maman Abdurachman, Cristian Gerard Alfaro Gonzales (Bambang Pamungkas), Oktovianus Maniani (Arif Suyono), Firman Utina (ketua pasukan), Ahmad Bustomi, Yongky Ari Bowo (Irfan Haarys Bachdim), Muhammad Ridwan, Hamka Hamsah.

Ehsan : bernama

Monday, December 20, 2010

Tragedi Disember 2010 Kemalangan Bas Di Simpang Pulai - 28 Maut


Seramai 28 penumpang, kebanyakannya pelancong dari Thailand, terbunuh selepas sebuah bas pesiaran membawa pelancong negara itu terlibat dalam satu kemalangan di Km15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pukul 11.40 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof berkata 22 orang mati di tempat kejadian manakala empat lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di sini.

Katanya bas dua tingkat itu milik syarikat San Express Holiday yang beribu pejabat di Jitra, Kedah, membawa 37 pelancong Thai manakala pemandu, pembantu pemandu dan pemandu pelancong adalah rakyat Malaysia.

Zakaria memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan tengah hari telah mengerakkan 100 anggota penyelamat dalam operasi menyelamat.

Katanya, ketika kejadian, bas itu sedang dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur kerana pelancong itu dipercayai akan mengambil penerbangan pulang ke Bangkok.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum bas terbabas ke laluan bertentangan dan terbalik di longkang.

Menurutnya, identiti dan jantina mangsa yang terbunuh belum dikenal pasti.

Pihak polis setakat ini mengeluarkan senarai nama dua rakyat Malaysia dan 22 rakyat Thailand daripada 28 orang semuannya yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, 11.40 pagi tadi.

1. Omar Shahidan, 48, pemandu, rakyat Malaysia
2. Soontorn a/l Kian, 38, (pemandu pelancong lelaki keturunan Siam Malaysia)
3. Charcart Knagsuwan, 48, (lelaki)
4. Thanvaraj Poolsang, 36, (perempuan)
5. Nutthiya Inyyim, 50, (perempuan)
6. Poonporn poolsaene, 41, (lelaki)
7. Sumruay Swatphet, 48, (lelaki)
8. Putharee Akkrarachaw Wanont, 42, (perempuan)
9. Ponethanest Akkrarachaw Wanont, 45, (lelaki)
10. Suchanchida Chaiaueai, 40, (perempuan)
11. Sriwai Swatphet, 42, (perempuan)
12. Prinya Prassakulchai, 48, (perempuan)
13. Chutima Throukool, 25, (perempuan)
14. Thitisak Pongtanarat, 51, (lelaki)
15. Junpen Pongtanarat, 50, (perempuan)
16. Phayong Kruanjinli, 59, (lelaki)
17. Ekachai Na Bangxang, 64, (perempuan)
18. Mantana Phromduag, 51, (perempuan)
19. Rung Da (perempuan)
20. Darunee Songserm (perempuan)
21. Isariya Thiangtham, 25, (perempuan)
22. Ampaiwan Thiangtham, 50 (perempuan)
23. Malinan Mekmahaprom, 53, (perempuan)
24. Achara Wiwat, 36, (perempuan)

Ehsan : bernama

Friday, December 17, 2010

Makan Tuan?

Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah boleh mengenepikan keputusan Speaker Dun Perak kini bakal makan tuan apabila Pakatan Rakyat mahu mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Oleh itu, pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dicabar oleh mahkamah telah tertolak dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Demikian kata peguam Mohamed Hanipa Maidin, Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Mohd Nazri melabelkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai 'bodoh dan gila' kerana mengugut untuk mengheret speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah.

Mengulas kenyataan ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh - Nazri, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal parlimen berkata mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat.

“Ini kerja gila dan saya percaya ia akan ditolak oleh mahkamah kerana parlimen ada supremasinya,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Menurut Nazri, telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen.

Karpal yang merupakan seorang peguam sebelum ini berkata tindakan akan diambil ke atas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Pandikar Amin Haji Mulia kerana menyalah-gunakan kuasa meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen yang lain, termasuk dirinya selama enam bulan.

Bagi Hanipa, Umno telah terbelit dengan tindakannya sendiri apabila seolah-olah membenarkan tindakan Mahkamah Persekutuan campur tangan dalam kes keputusan Speaker Dun Perak V Sivakumar apabila beliau menggantung Zambry Abdul Kadir dan enam Exco haramnya.

"Adakah Nazri tidak sedar dalam kes Perak, Umno telah menyalahgunakan mahkamah untuk cabar keputusan V Sivakumar, Speaker Dun Perak.

"Bukankah Mahkamah Persekutuan telah memutuskan keputusan Sivakumar sebagai Speaker boleh dicabar. Sekarang kes Perak ini dah makan tuan," kata Hanipa dalam kenyataannya.

Ini kerana, kedudukan Speaker Dun dan Speaker Dewan Rakyat tidak ada bezanya dalam konteks sistem dewan perwakilan di Malaysia. Jika keputusan Speaker Dun boleh dicabar, maka keputusan Speaker Dewan Rakyat juga boleh dicabar.

Ehsan : harakahdily

Harga Getah RM14.13 sekilogram

Lonjakan harga dijangka kekal hingga Jun 2011

Harga getah yang kini melambung sehingga RM14.13 sekilogram (kg), iaitu paling tinggi dalam sejarah dijangka berkekalan sehingga pertengahan tahun depan berikutan kekurangan bekalan getah akibat perubahan cuaca di negara pengeluar utamanya.

Peningkatan itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada 350,000 keluarga pekebun kecil getah di seluruh negara.

“Harga terbaru ini adalah sejarah berbanding lima tahun lalu yang mana harga pasaran ketika itu hanya sekitar RM4 sekilogram.

“Oleh itu, pekebun kecil getah digalakkan menambahkan pengeluaran harian mereka dengan turut menoreh pada sebelah petang, berbanding sekarang yang hanya menoreh pada waktu pagi,” katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Gagasan Ekonomi Melayu (GABEM) kedua, di sini, semalam.

Abdul Rahim juga menasihati pekebun kecil getah menjual hasil getah mereka terus kepada agensi bertanggungjawab di bawah RISDA seperti di Depoh Pembelian Getah ataupun Pusat Timbang dan Stor (PTS) serta elak menggunakan khidmat orang tengah.

“RISDA akan menambahkan lagi bilangan depoh dan PTS di seluruh negara sebagai langkah membasmi penjualan kepada orang tengah yang cuba mengaut keuntungan daripada pekebun kecil,” katanya.

Beliau juga berkata, seramai 900 Pegawai Perkembangan RISDA di seluruh negara akan turun padang bagi membantu dan mengajar penoreh getah memperbaiki cara torehan mereka untuk menghasilkan pengeluaran susu getah yang lebih banyak.

Difahamkan, dengan harga sekarang, pekebun kecil getah kini boleh memperoleh pendapatan di antara RM1,500 hingga RM2,000 sehektar sebulan.

Tikam Dengan Pisau RAMBO

JENGKA, Berang selepas gagal mendapatkan nombor telefon baru bekas kekasihnya, seorang lelaki bertindak kejam apabila menikam lengan dan paha kiri gadis berkenaan sebelum melarikan motosikal mangsa dalam satu kejadian di Bandar Jengka, Maran, kelmarin.

Tindakan gila buruh berusia 28 tahun itu tidak berakhir di situ apabila dia meninggalkan mangsa yang berusia 23 tahun di tepi jalan mengerang kesakitan sebelum diselamatkan orang ramai yang menghantarnya ke hospital untuk menerima rawatan.

Difahamkan, pasangan kekasih berkenaan baru memutuskan ikatan cinta mereka kira-kira seminggu lalu membuatkan suspek yang masih tergila-gilakan mangsa hilang pertimbangan seakan-akan ‘gila talak’.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Syamsuri berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa baru keluar dari sebuah kedai makan menuju ke motosikalnya sebelum terserempak dengan bekas teman lelakinya.

Katanya, suspek terus mengekori mangsa hingga ke tempat letak motosikal di depan kedai makan berkenaan sebelum meminta nombor telefon barunya.

“Gadis yang bekerja sebagai jurujual enggan melayan pertanyaan itu terus meninggalkan suspek.

“Suspek mengejar mangsa dan mengarahkannya memberhentikan motosikal ketika tiba di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, suspek berkali-kali meminta gadis berkenaan memberitahu nombor telefon barunya, namun mangsa tetap berkeras enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Berang selepas permintaannya ditolak, secara tiba-tiba suspek mengeluarkan pisau dan menikam lengan dan paha kiri bekas kekasihnya itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian merayu meminta pertolongan lelaki berkenaan menghantarnya ke hospital mendapatkan rawatan dan suspek bersetuju menghantar bekas kekasihnya itu menaiki motosikal gadis itu.

“Ketika dalam perjalanan mangsa menyedari suspek tidak membawanya ke hospital sebaliknya ke destinasi lain menyebabkan gadis berkenaan terjun dari motosikal diboncengnya

“Menyedari keadaan berkenaan, suspek bertindak memecut motosikal milik bekas kekasihnya itu dan meninggalkan gadis terbabit mengerang kesakitan di tepi jalan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mangsa diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menurutnya, polis sedang giat memburu suspek dan identitinya sudah dikenal pasti.

“Kes berkenaan masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Macam-macam kategori GILA ada kat Jengka ni, tapinya cerita kat atas nun rasanya bukan kategori gila tapinya kategori KHAYAL disebabkan benda yang mengkhayalkan.....CINTA di tolak.....BAHAN yang mengkhayalkan....sehingga hilang segala pertimbangan yang WARAS sampai sanggup tikam sehingga mendatangkan kecederaan.

Tok Guru MB : Insaflah

Nik Aziz tidak berhasrat ambil tindakan

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak berhasrat untuk mengambil apa-apa tindakan sebaliknya berharap pihak yang membuat dakwaan kononnya terlibat dengan amalan rasuah insaf dan menyesal.

"Biarlah, saya cuma hendak minta supaya mereka berkenaan insaf dan sedar dengan perbuatan itu. Saya tidak bercadang untuk ambil apa-apa tindakan. Islam bergerak antara hukum dan rukun. Maka setiap perbuatan kita mesti kembali kepada Allah.

"Islam sememangnya melarang keras terhadap sesuatu tuduhan tanpa bukti ataupun tidak berasas. Jadi, sekali lagi saya minta mereka terbabit sedar dan insaf," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu berkata, dakwaan rasuah yang dilempar ke atasnya sebelum ini adalah berpunca dari rasa benci selain berunsur provokatif dan khianat pihak tertentu terhadapnya yang terus memperjuangkan dasar Islam dalam sistem pentadbirannya.

Semalam SPRM membuat keputusan menutup kes membabitkan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu.

Dalam perkembangan yang sama juga SPRM turut menutup kes yang melibatkan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil, dalam sidang akhbar semalam dilaporkan berkata, tiada kes untuk pertuduhan membabitkannya (Nik Abdul Aziz dan Ariffahmi).

Nik Aziz sumbang 1/3 simpanan untuk PAS

Menteri Besar yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercadang untuk menyumbangkan satu pertiga daripada wang simpanannya kepada PAS bagi memantapkan lagi parti dalam memperjuangkan Islam.

"Saya sudah maklum pada setiausaha saya minta semak duit dalam akaun ada berapa, kemudian bahagi tiga. Saya hendak beri kepada parti sebagai sumbangan dalam memantapkan gerakan daulah Islamiyah," katanya kepada pemberita selepas ditemui di kediamannya hari ini.

Tindakan itu sebagai tanda kesyukuran di atas keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menutup kes bersabit tajaan terhadapnya untuk mengerjakan haji melibatkan kos RM65,000 tahun lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, dakwaan berhubung rasuah yang dilempar ke atasnya sebelum ini adalah berpunca dari rasa benci pihak tertentu lantaran kecekalannya memperjuangkan dasar Islam.

"Orang tuduh saya kerana benci dengan saya terus memperjuangkan Islam. Tapi, walau apapun, asal kita ini berada pada landasan yang benar, Allah tetap bantu kita dengan kebenaran.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT dengan keputusan itu," katanya.

Semalam, SPRM membuat keputusan menutup kes membabitkan Nik Abdul Aziz yang sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails