Saturday, February 19, 2011

PRK Merlimau & Kerdau DiSelaras


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang, diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau, Melaka iaitu penamaan calon 26 Februari dan pengundian, 6 Mac, dengan tempoh berkempen selama lapan hari.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan itu bagi membolehkan pihaknya menyelesaikan dua pilihan raya kecil itu lebih cepat supaya tumpuan SPR dapat diberikan kepada pilihan raya lebih besar, terutama Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 selepas ini. Katanya, SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 bagi bahagian pilihan raya yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama hingga Suku Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang dikemas kini sehingga 12 Februari 2011.



“Daftar pemilih itu mengandungi 8,999 pemilih berdaftar merangkumi 8,984 pemilih biasa dan 15 pemilih pos. SPR juga menetapkan Majlis Perbandaran Temerloh sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di sini, malam tadi.

Katanya, SPR turut bersetuju menubuhkan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang diketuai seorang pegawai penguat kuasa bagi setiap pasukan.

Abdul Aziz berkata, 10 sekolah, dua balai raya dan sebuah dewan digunakan sebagai pusat yang akan mengandungi 22 saluran tempat mengundi dengan ia akan dikendalikan 242 petugas pilihan raya diketuai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Pilihan raya kecil Kerdau perlu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Dewan Negeri (ADUN), Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, akibat penyakit jantung, 12 Februari lalu.

Allahyarham menang kerusi DUN Kerdau pada Pilihan Raya Umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim dan kawasan berkenaan mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, enam peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus lain-lain kaum.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau juga dianggarkan membabitkan perbelanjaan RM915,000. Yang Dipertua Majis Perbandaran Temerloh, Datuk Tarif Abdul Rahman dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya berkenaan.

Sumber : BH

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails