Tuesday, February 22, 2011

Mereka Yang Cemerlang

Anak Arifin Mohamad atau 'Ayah Pin' adalah antara 12 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Terengganu.

Mohd Khairul Adhar Arifin, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut, memperolehi 4A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Seni Visual, Bahasa Melayu dan Sastera.

Anak keempat daripada enam adik beradik itu tidak menjadikan kontroversi yang berkisar mengenai ayahnya sebagai halangan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

"Apa yang berlaku ke atas ayah saya, saya tidak ambil kisah dan ia tidak mengganggu pelajaran saya. Sudah enam tahun saya tidak jumpa ayah dan ibu yang banyak memberikan saya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan supaya dapat mengubah nasib kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di sekolahnya semalam

Mohd Khairul Adhar memperuntukkan masa selama lima jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran selain menyertai diskusi kumpulan dengan rakan sekelas.

Dengan pencapaian yang cemerlang itu, Mohd Khairul menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sementara itu, kecacatan penglihatan yang dialami sejak berumur sembilan tahun tidak menghalang Muhamad Nadhir Abdul Nasir untuk meraih keputusan 3A 1B dalam peperiksaaan STPM.

Muhamad Nadhir, 20, pelajar Maktab Sultan Abu Bakar, di sini, disenaraikan sebagai pelajar cemerlang negeri Johor bagi kategori calon istimewa (buta) selepas mendapat A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan B dalam Pengajian Perniagaan.

Anak ketiga daripada enam adik beradik yang mengalami cacat penglihatan (B2) selepas menghidap sakit mata itu berkata beliau berbangga dengan penat lelahnya belajar bersungguh-sungguh membuahkan kejayaan cemerlang.

"Saya belajar macam biasa setiap hari dan hanya belajar menggunakan braille bagi mata pelajaran Sejarah. Kejayaan hari ini adalah dorongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan," katanya yang ditemui selepas pengumuman STPM Johor, di sini, semalam.

Muhamad Nadhir yang bercita-cita menjadi seorang usahawan berharap kejayaannya hari ini dapat dijadikan ikutan buat rakan senasib dengannya untuk lebih berjaya pada masa depan.

Di Pasir Mas, Kelantan, kelibat Attarmizi Ramli dan ibunya Nor Aizan Mohd Nor menjadi perhatian ramai kerana penampilan kedua-dua mereka ke SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, berbeza hari ini apabila Attarmizi muncul pelajar cemerlang STPM.

Pada kebiasaannya, Nor Aizan akan sibuk dengan tugasan menyapu dan membersih kawasan sekolah, manakala Attarmizi pula tekun mengikuti pengajian dalam kelas.

Ibu berumur 46 tahun itu, membuktikan beliau mampu memberi didikan sempurna kepada anaknya walaupun beliau sendiri tidak berpelajaran dan hanya bekerja sebagai seorang tukang di sekolah.

"Walaupun saya bekerja sebagai tukang sapu di sekolah yang sama dengan Attarmizi, tetapi dia tidak malu bahkan kami selalu bertemu untuk memberi kata semangat terutama ketika Attarmizi sedang menjalani peperiksaan STPM. Untuk mengajarnya saya tidak pandai tetapi hanya kata dorongan boleh saya berikan," katanya kepada pemberita semalam.

Attarmizi mencatat keputusan cemerlang dalam lima mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Kesusasteraan Melayu, Sejarah dan Geografi.

Attarmizi ketika ditemui berkata kejayaan itu adalah hadiah kepada ibu dan bapanya, Ramli Che Hussin, 51, yang tidak jemu memberi dorongan untuknya terus berjaya.

"Saya kesian setiap kali tengok mak sapu kawasan sekolah, sebab itulah saya berazam nak belajar bersungguh-sungguh untuk dapat kejayaan dan bantu mak dan ayah, ini (keputusan cemerlang) ibarat hadiah untuk mereka," kata anak keempat dari tujuh beradik itu.

Attarmizi yang bercita-cita menjadi seorang guru sejarah itu berkata beliau berhasrat menyambung pengajiannya di UPSI selepas ini.

Di Klang, Selangor, pengorbanan Norhidayah Abdul Aziz, 21, menamatkan pengajian di kolej swasta di negeri ini akibat masalah kewangan dan menyambung pelajaran di sekolah biasa, amat berbaloi apabila cemerlang dalam peperiksaan STPM dengan keputusan 4A dalam semua mata pelajaran yang diambilnya.

"Saya masih rasa seperti mimpi namun hari ini saya percaya setiap yang berlaku pasti ada rahmat dari-Nya, syukur kerana usaha saya selama ini berbaloi dan memudahkan saya untuk mencapai impian yang tertangguh," katanya ketika ditemui di sekolah Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) di sini hari.

Norhidayah yang merupakan anak tunggal kepada ibu bapa yang telah berpisah itu berkata apa yang penting dalam hidup ialah sentiasa bersemangat untuk menjadi yang lebih baik dan jangan biarkan masalah mengganggu perjalan hidup seseorang itu.

Beliau berkata ketika mahu menyambung pengajian semester kedua di peringkat Diploma Syariah dan Perundangan Islam, dia dimaklumkan permohonan pinjamannya gagal dan perlu menggunakan wang sendiri sekiranya ingin mahu belajar.

Katanya, walaupun berat namun terpaksa akur kerana tidak mampu menaggung kos bagi meneruskan pengajiannya ketika itu dan mengambil keputusan untuk masuk ke sekolah menengah semula untuk mengambil peperiksaan STPM.

"Saya duduk di asrama dan sibuk dengan pelbagai aktiviti, kadangkala tidak dinafikan penat dan masa terhad namun kita kena pandai cari masa tidak perlu lama-lama biar sekejap asalkan kita betul-betul fokus dan faham apa yang dipelajari," katanya yang turut mengamalkan memakan kismis setiap hari.

Norhidayah yang bercita-cita menjadi seorang peguam berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Chan Kei Yaik, 20, dari Sekolah Menengah Tinggi Klang yang juga mendapat keputusan 4A berkata kemudahan teknologi masa kini banyak membantunya ketika mengulang kaji pelajaran.

Katanya, rutin hariannya yang belajar secara dalam talian melalui forum dan perbualan di internet memberikan peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan maklumat dengan calon-calon STPM dari seluruh negara.

"Saya belajar sendiri setiap hari dari pukul 8 malam hingga 11 malam secara dalam talian untuk berkongsi soalan dengan rakan-rakan ia memang membantu," katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini.

Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata beliau tidak sangka mimpi mendapat keputusan cemerlang pagi ini menjadi realiti sebaik membuka keputusan yang diberikan oleh gurunya.

Ibu kepada Chan, Kate Tang, 54, berkata walaupun anaknya mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi enggan melanjutkan pelajaran ke kolej kerana memilih universiti tempatan.

"Saya ada minta Chan sambung ke kolej, tetapi tidak mahu kerana bagi Chan kolej hanya seperti pusat tuisyen berbanding universiti yang lebih gah dan diperakui," katanya.

Ehsan : Bernama

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails