Friday, January 8, 2010

Suspek Mohon Maaf


GEMENCHEH: Suasana hiba menyelubungi lokasi pembunuhan empat sekeluarga apabila ibu kepada suspek utama kes itu sempat memeluk erat anaknya yang dibawa polis ke tempat kejadian dipercayai untuk mencari bahan bukti.

Lelaki berusia 34 tahun itu dipeluk ibunya Zahara Atan, 59, serta adiknya, Siti Mariam Ismail, 19, dan dua beranak itu kelihatan berlinangan air mata selama beberapa minit.

Zahara yang kelihatan hampir pengsan kerana terlalu sebak kemudian dipapah ahli keluarga dan duduk berhampiran tempat kejadian.

Dia sebelum itu dikatakan meminta kebenaran polis untuk menemui anaknya yang dibawa ke lokasi kejadian selepas polis mendapat perintah menahan reman suspek di Mahkamah Majistret Gemas.


Ibu dan adiknya, Siti Mariam kemudian dibawa ke sebelah van polis dinaiki suspek dan mereka kelihatan bercakap dengannya.

Zahara berkata, dia sudah memaafkan perbuatan anaknya dan reda dengan apa berlaku ke atas keluarganya. “Dia (suspek) tanya kenapa saya ada di sini sambil menangis dan meminta maaf atas kesalahannya. Saya sudah memaafkannya dan reda dengan semuanya,” katanya ringkas ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Sementara itu, adik Zahara, Dzolkiple Atan, 49, berkata kakaknya itu sempat mencium pipi anaknya sambil suspek memegang tangan Zahara lalu meminta maaf sebelum kedua-dua mereka menangis sebak.

Katanya, anak saudaranya itu turut meminta abangnya supaya menjaga ibunya itu.

Suspek sebelum itu dibawa semula ke tempat kejadian dan menunjukkan satu lagi senjata dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Dia yang dibawa ke tempat itu selepas keluar dari Mahkamah Majistret Gemas, dekat sini, tiba di tempat kejadian jam 12.10 tengah hari dan dilihat membawa polis ke bahagian belakang rumah.

Difahamkan, suspek menunjukkan sebilah pisau yang ditanam di bawah pokok durian. Polis kemudian menggali tanah menggunakan cangkul dan mengambilnya untuk siasatan lanjut.

[Adakah Mona Fendey muncul kembali ? Apabila kewarasan fikiran tiada kesakitan kemantelan mengambil alih situasi keadaan beginilah yang berlaku]

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails