Sunday, December 13, 2009

Siapa Sentuh Tok Guru Akan Mendapat Tentangan


KULIM, 13 Dis: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang cuba menyentuh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mendapat tentangan hebat daripada ratusan ribu rakyat yang menyokong beliau.

Menurut Anwar lagi dalam isu yang menyentuh kedudukan Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan keupayaan beliau mentadbir negeri Kelantan tidak harus dipertikaikan oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Saya ingatkan kepada semua sekiranya Tuan Guru, Datuk Nik Aziz disentuh oleh mereka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun bukan saja daripada Kelantan malah Kedah dan seluruh negara akan turut sama mempertahankan Tuan Guru kita.

"Jika isu royalti minyak yang sememangnya perlu diberikan kepada Kelantan mereka nafikan. Kemudian isu untuk mengerjakan haji ke Baitullah untuk beribadat pun mereka pertikaikan terhadap Menteri Besar Kelantan.

"Apakah kita mahu biarkan lagi mereka yang tidak tahu menilai dan membezakan antara rasuah dan ibadah ini berterusan mencelarukan masyarakat.

"Sudah pasti tidak. Oleh kerana itu kita tunjukkan sokongan kita dengan memberi pengajaran kepada Umno dan Barisan Nasional dengan menolak kepimpinan mereka," katanya.

Kenyataan Anwar itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin yang membanjiri Stadium Mini Keladi tersebut.

Dalam ucapan tersebut Anwar juga membidas tindakan media arus perdana yang sengaja memutarbelitkan fakta dengan tidak menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.

"Apa yang berlaku tidak dinyatakan dengan benar oleh media mereka.Bagi mereka berita yang sememangnya benar tetapi tidak menyebelahi mereka tidak akan menjadi laporan utama.

"Tetapi sekiranya berita tersebut walaupun kecil tetapi dapat mereka sensasikan maka itu akan menjadi tajuk utama mereka."

Anwar berkata demikian semasa melancarkan ceramah tanpa henti selama 40 hari seluruh negara anjuran PKR yang telah diadakan di Stadium Mini Keladi, Klang Lama, Kulim.

Turut hadir ialah Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Tian Chua, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amiruddin Shaari. Ahli Parlimen Kulim- Bandar Bharu, Zulkifly Noordin dan kepimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan Pulau Pinang.

Sumber : harakahdaily

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails