Friday, February 25, 2011

Yuhaizad di Merlimau, Hassanuddin di Kerdau

PAS malam ini memilih Yuhaizad Abdullah, 38, sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Hassanuddin Salim, 43, bagi PRK Kerdau.

Kedua-dua PRK itu diadakan serentak pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pada 26 Februari.

Di JASIN, pemilihan Yuhaizad selaku Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 11.25 malam ini di hadapan lebih 6,000 penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di Dataran Markas PAS Dun Merlimau.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, Ketua AMK dan Dapsy Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin dan Loke Siew Fook serta Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad adalah juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri.

Pemilihan anak jati Kampung Chinchin yang terletak di dalam Dun Merlimau yang berkelulusan Diploma Tasawur Islam itu dipercayai mampu memberikan tentangan sengit kepada BN yang sememangnya begitu yakin dapat mempertahankan kerusi Merlimau.

Kerusi Dun Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 58, dari BN pada awal Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Hidhir menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Beliau pernah bekerja sebagai juruteknik Siemens Semiconductor pada 1994 hingga 1998, Pegawai Tadbir Koperasi Hak Anak Melaka (Kohamas) pada 1998 hingga 2000, Pegawai Tadbir Borneo Security Melaka (2001-2003), Pengurus Projek Kontraktor Penyelenggaraan di MISC Menara Dayabumi (2003-2007) dan Pengurus Projek Kontraktor Penyelenggaraan di Universiti Multimedia pada tahun lepas.

Di TEMERLOH, pengumuman Hassanuddin (kiri) sebagai calon PAS telah disempurnakan oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.46 malam dalam majlis yang diadakan di tapak Kompleks PAS Kerdau.

Turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS dan PKR, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden dan AJK PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Hassanuddin yang dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh pernah bertanding di Dun Kerdau pada pilihan raya umum lalu.

Beliau adalah Ketua Penerangan PAS Pahang yang berkelulusan Diploma Ukur dari UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hassanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri dan ukur selama 15 tahun juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

Ehsan : harakahdaily

Thursday, February 24, 2011

Konsep Zuhud Yang Sebenar

Apabila disebut zuhud, orang terus memvisualkan keadaan yang miskin, susah, compang-camping. Ini adalah satu tanggapan yang salah. Hakikatnya zuhud itu konsepnya ialah manusia itu jiwanya mengawal dan bukannya dikawal oleh wang atau harta. Kerana itu masih ramai yang keliru apabila zuhud itu disebut dalam Islam tetapi pada masa yang sama orang Islam digesa mencari kekayaan dan kekuatan ekonomi.

Tidak salah mempunyai rumah yang besar, kereta yang mahal serta berkualiti serta harta yang melimpah ruah. Itu adalah yang terbaik apabila umat Islam mempunyai kuasa beli yang kuat untuk berbuat sesuatu. Bagaimanakah anda boleh membantu dan bersedekah sekiranya anda sendiri perlu dibantu dari segi ekonomi?

Tahukah anda Rasulullah menggunakan kuda perang yang terbaik dari baka Arab. Kalau kita bandingkan kuda itu dengan kenderaan sekarang ia seperti tahap kereta Ferrari dan Bentley. Malah Rasulullah mengarahkan supaya baka tersebut dikawal supaya ia tidak keluar dari tanah arab. Ia adalah supaya teknologi baka itu dikuasai oleh orang Islam.

Definisi Mencari Kekayaan Dalam Islam Dan Memanfaatkannya

Masalahnya sekarang ia definisi dan persepsi tentang kekayaan. Apabila hari ini anda jelas mengenai zuhud, maka anda faham bahawa mencari kekayaan itu perlu tetapi tunduk kepada kekayaan itu adalah salah. Tunduk kepada kekayaan disini bermaksud, manusia sanggup mengabaikan perintah Allah demi kekayaan. Manusia menjadi ujub dan takbur dengan kekayaan. Disinilah konsep zuhud dalam kekayaan itu telah hilang.

Kerana itulah juga agama dianggap sesuatu yang murah. Menghantar anak mengaji Al-Quran dengan RM40 masih dikatakan orang mahal tetapi kelas tuisyen dengan RM40 satu subjek dikatakan keperluan. Bukankah islam telah menerangkan tentang wasatiah iaitu keseimbangan ilmu dunia dan akhirat untuk kesejahteraan hidup? Jadi mengapa ada 'double standard' di situ?

Adakah Ilmu Agama Itu 2nd Class?

Ilmu agama tidak banyak membantu dalam kerjaya dan kehidupan? Anda silap. Ini adalah kerana anda tidak banyak mengkaji betapa ilmu spiritual begitu banyak membantu organisasi dan kehidupan manusia. Mengapa diseluruh dunia, organisasi menghabiskan berbilion dolar untuk program latihan berbentuk spiritual seperti pembangunan diri, pembangunan kerja kumpulan dan kepimpinan? Tahukah anda itu adalah cabang spiritual yang asalnya diambil dari ilmu keagamaan?

Jika kita merujuk teori Sigmund Freud tentang minda sedar dan separa sedar, ia adalah perkara berkaitan psikologi. Di dalam surah Al-Baqarah, Allah telah berfirman untuk kita mempercayai perkara ghaib. Ghaib disini bermaksud spiritual yakni agama. Begitu juga di dalam Al-Quran ada menyebut tentang peranan hati yang mana rosak atau baiknya hati ini, akan menentukan kejayaan seseorang. Jose Silva, salah seorang yang berpengaruh yang mana teori pembangunan mindanya begitu menekankan aspek spiritual dan diperkayakan oleh syarikat latihan seluruh dunia membangunkan modul. Kerana itu mereka yang terlalu ultra menggunakan konsep logik gagal memperoleh satu keputusan yang terbaik apabila mengabaikan perkara spiritual.

Kefahaman Zuhud Yang Sebenar Serta Hikmah Kepada Ummah

Apakah kaitan spiritual dan zuhud dalam perbincangan kita ini? Ianya sangat berkait rapat. Mengapa ramai yang berzuhud agak kurang membuat harta? Kerana mereka takut tidak dapat mengawal harta sebaliknya harta mengawal mereka. Mereka takutkan kerosakan yang boleh membawa mereka kepada kesesatan.Itulah jua maksud zuhud yang sebenar iaitu mengelak atau meninggalkan sesuatu kerana kehinaannya walaupun mampu untuk memperolehnya.

Kerana itulah, seorang manusia harus membekalkan diri dengan bekalan spiritual yang cukup bagi menemui kejayaan kehidupan. Kita terlalu digula-gulakan tentang kejayaan berdasarkan nombor dan wang ringgit tetapi akhirnya masih ada kegagalan. Kerana itu ramai hartawan dunia dilaporkan mati dibunuh dan membunuh diri. Mereka tidak mampu untuk mengelak dan meninggalkankan dunia tetapi akhirnya mereka meninggalkan jua semua itu dalam keadan yang menyedihkan. Bagaimana seseorang yang tidak membekalkan diri dengan kemampuan mengawal boleh mengawal sesuatu?

Fahamilah konsep zuhud dengan sebenar, maka insyallah kita akan menjadi insan yang amat berguna untuk diri sendiri, orang disekeliling serta masyarakat. Sudah tentulah juga kita mampu menjadi orang yang berguna dan mampu berbakti kepada agama seperti Abu Bakar As-Siddiq serta Abdur Rahman Auf yang mampu menginfaqkan harta mereka.

Ehsan : iluvislam

Nahas atau Pesta?

Seorang pemandu treler kecewa dengan sikap orang ramai yang ghairah mengutip beras yang bertaburan dalam satu nahas daripada menyelamatkan dia dan rakannya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu kelmarin.

Gambar: AHMAD ROZLIN yang dirawat di HRPB, Ipoh semalam menceritakan kekecewaannya dibiarkan selama sejam atas jalan oleh orang ramai.

Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22, mendakwa sikap jelik pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan rayuannya supaya menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan kelindan lori, Hanafi Mohd. Daud, 19, tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Dalam kejadian itu, Hanafi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Ahmad Rozlin cedera parah di tangan dan kaki kiri.

Lebih mengharukan apabila Ahmad Rozlin mendakwa dia dibiarkan terlantar selama lebih sejam di atas bahu jalan tanpa dipedulikan oleh orang ramai yang ghairah mengutip 43 tan beras tempatan pelbagai gred yang tumpah selepas kemalangan. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor dari Perlis.

Ehsan : Cina Islam

Agaknya kalau minyak yang tumpah ada tak mereka nak sedut minyak tersebut?

Tuesday, February 22, 2011

Mereka Yang Cemerlang

Anak Arifin Mohamad atau 'Ayah Pin' adalah antara 12 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Terengganu.

Mohd Khairul Adhar Arifin, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut, memperolehi 4A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Seni Visual, Bahasa Melayu dan Sastera.

Anak keempat daripada enam adik beradik itu tidak menjadikan kontroversi yang berkisar mengenai ayahnya sebagai halangan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

"Apa yang berlaku ke atas ayah saya, saya tidak ambil kisah dan ia tidak mengganggu pelajaran saya. Sudah enam tahun saya tidak jumpa ayah dan ibu yang banyak memberikan saya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kejayaan supaya dapat mengubah nasib kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di sekolahnya semalam

Mohd Khairul Adhar memperuntukkan masa selama lima jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran selain menyertai diskusi kumpulan dengan rakan sekelas.

Dengan pencapaian yang cemerlang itu, Mohd Khairul menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sementara itu, kecacatan penglihatan yang dialami sejak berumur sembilan tahun tidak menghalang Muhamad Nadhir Abdul Nasir untuk meraih keputusan 3A 1B dalam peperiksaaan STPM.

Muhamad Nadhir, 20, pelajar Maktab Sultan Abu Bakar, di sini, disenaraikan sebagai pelajar cemerlang negeri Johor bagi kategori calon istimewa (buta) selepas mendapat A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan B dalam Pengajian Perniagaan.

Anak ketiga daripada enam adik beradik yang mengalami cacat penglihatan (B2) selepas menghidap sakit mata itu berkata beliau berbangga dengan penat lelahnya belajar bersungguh-sungguh membuahkan kejayaan cemerlang.

"Saya belajar macam biasa setiap hari dan hanya belajar menggunakan braille bagi mata pelajaran Sejarah. Kejayaan hari ini adalah dorongan daripada ibu bapa, guru dan rakan-rakan," katanya yang ditemui selepas pengumuman STPM Johor, di sini, semalam.

Muhamad Nadhir yang bercita-cita menjadi seorang usahawan berharap kejayaannya hari ini dapat dijadikan ikutan buat rakan senasib dengannya untuk lebih berjaya pada masa depan.

Di Pasir Mas, Kelantan, kelibat Attarmizi Ramli dan ibunya Nor Aizan Mohd Nor menjadi perhatian ramai kerana penampilan kedua-dua mereka ke SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, berbeza hari ini apabila Attarmizi muncul pelajar cemerlang STPM.

Pada kebiasaannya, Nor Aizan akan sibuk dengan tugasan menyapu dan membersih kawasan sekolah, manakala Attarmizi pula tekun mengikuti pengajian dalam kelas.

Ibu berumur 46 tahun itu, membuktikan beliau mampu memberi didikan sempurna kepada anaknya walaupun beliau sendiri tidak berpelajaran dan hanya bekerja sebagai seorang tukang di sekolah.

"Walaupun saya bekerja sebagai tukang sapu di sekolah yang sama dengan Attarmizi, tetapi dia tidak malu bahkan kami selalu bertemu untuk memberi kata semangat terutama ketika Attarmizi sedang menjalani peperiksaan STPM. Untuk mengajarnya saya tidak pandai tetapi hanya kata dorongan boleh saya berikan," katanya kepada pemberita semalam.

Attarmizi mencatat keputusan cemerlang dalam lima mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Kesusasteraan Melayu, Sejarah dan Geografi.

Attarmizi ketika ditemui berkata kejayaan itu adalah hadiah kepada ibu dan bapanya, Ramli Che Hussin, 51, yang tidak jemu memberi dorongan untuknya terus berjaya.

"Saya kesian setiap kali tengok mak sapu kawasan sekolah, sebab itulah saya berazam nak belajar bersungguh-sungguh untuk dapat kejayaan dan bantu mak dan ayah, ini (keputusan cemerlang) ibarat hadiah untuk mereka," kata anak keempat dari tujuh beradik itu.

Attarmizi yang bercita-cita menjadi seorang guru sejarah itu berkata beliau berhasrat menyambung pengajiannya di UPSI selepas ini.

Di Klang, Selangor, pengorbanan Norhidayah Abdul Aziz, 21, menamatkan pengajian di kolej swasta di negeri ini akibat masalah kewangan dan menyambung pelajaran di sekolah biasa, amat berbaloi apabila cemerlang dalam peperiksaan STPM dengan keputusan 4A dalam semua mata pelajaran yang diambilnya.

"Saya masih rasa seperti mimpi namun hari ini saya percaya setiap yang berlaku pasti ada rahmat dari-Nya, syukur kerana usaha saya selama ini berbaloi dan memudahkan saya untuk mencapai impian yang tertangguh," katanya ketika ditemui di sekolah Kolej Islam Sultan Alam Shah (Kisas) di sini hari.

Norhidayah yang merupakan anak tunggal kepada ibu bapa yang telah berpisah itu berkata apa yang penting dalam hidup ialah sentiasa bersemangat untuk menjadi yang lebih baik dan jangan biarkan masalah mengganggu perjalan hidup seseorang itu.

Beliau berkata ketika mahu menyambung pengajian semester kedua di peringkat Diploma Syariah dan Perundangan Islam, dia dimaklumkan permohonan pinjamannya gagal dan perlu menggunakan wang sendiri sekiranya ingin mahu belajar.

Katanya, walaupun berat namun terpaksa akur kerana tidak mampu menaggung kos bagi meneruskan pengajiannya ketika itu dan mengambil keputusan untuk masuk ke sekolah menengah semula untuk mengambil peperiksaan STPM.

"Saya duduk di asrama dan sibuk dengan pelbagai aktiviti, kadangkala tidak dinafikan penat dan masa terhad namun kita kena pandai cari masa tidak perlu lama-lama biar sekejap asalkan kita betul-betul fokus dan faham apa yang dipelajari," katanya yang turut mengamalkan memakan kismis setiap hari.

Norhidayah yang bercita-cita menjadi seorang peguam berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Chan Kei Yaik, 20, dari Sekolah Menengah Tinggi Klang yang juga mendapat keputusan 4A berkata kemudahan teknologi masa kini banyak membantunya ketika mengulang kaji pelajaran.

Katanya, rutin hariannya yang belajar secara dalam talian melalui forum dan perbualan di internet memberikan peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan maklumat dengan calon-calon STPM dari seluruh negara.

"Saya belajar sendiri setiap hari dari pukul 8 malam hingga 11 malam secara dalam talian untuk berkongsi soalan dengan rakan-rakan ia memang membantu," katanya ketika ditemui di sekolahnya di sini.

Anak bongsu daripada dua beradik ini berkata beliau tidak sangka mimpi mendapat keputusan cemerlang pagi ini menjadi realiti sebaik membuka keputusan yang diberikan oleh gurunya.

Ibu kepada Chan, Kate Tang, 54, berkata walaupun anaknya mendapat keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi enggan melanjutkan pelajaran ke kolej kerana memilih universiti tempatan.

"Saya ada minta Chan sambung ke kolej, tetapi tidak mahu kerana bagi Chan kolej hanya seperti pusat tuisyen berbanding universiti yang lebih gah dan diperakui," katanya.

Ehsan : Bernama

Saturday, February 19, 2011

Bob Lokman sertai PAS


Bob Lokman mengisytiharkan diri sebagai Ahli PAS di hadapan 30 ribu Pemuda PAS di Kota Sarang Semut, Kedah sebentar tadi. Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada DS Ustaz Azizan Razak, MB Kedah Darul Aman.

Majlis ini telah dihadiri lebih 30 ribu pemuda dari seluruh negari. Kontinjen Negeri Kedah lebih dari 7 ribu. Selain itu, negeri Terengganu Darul Iman dan Selangor Darul Ehsan berjaya menghantar ramai pemuda ke Himpunan ini

Kesesakan jalanraya sepanjang lima kilometer di laluan ini dikawal dengan baik oleh para unit AMAL malaysia.Majlis bermula jam 9.00 pagi dengan perbarisan kontinjen dengan lagu Negaraku, lagu PAS dan lagu Amal. Ucapan Alu-aluan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad bin Yahya. Seterusnya ucapan oleh Pengarah Himpunan 30K. Ustaz Nasarudin Tantawi menyampaikan amanat untuk para pemuda agar berjuang dengan lebih gigih untuk menjana kemenangan.

Seterusnya ucapan perasmian oleh DS Ustaz Azizan Abdul Razak. Beliau begitu bersemangat dan gembira dengan himpunan yang besar begini. Dalam ucapannya beliau menyindir UMNO dengan katanya ‎'umno kini macam nyamuk kena ubat nyamuk, pening'. Selain beliau mengingatkan media agar tulis bagi betul ‎'Hari ini pemuda PAS berhimpun 30 ribu, tapi esok surat khabar tulis 300 sahaja"..

PRK Merlimau & Kerdau DiSelaras


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang, diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau, Melaka iaitu penamaan calon 26 Februari dan pengundian, 6 Mac, dengan tempoh berkempen selama lapan hari.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata keputusan itu bagi membolehkan pihaknya menyelesaikan dua pilihan raya kecil itu lebih cepat supaya tumpuan SPR dapat diberikan kepada pilihan raya lebih besar, terutama Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 selepas ini. Katanya, SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 bagi bahagian pilihan raya yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama hingga Suku Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang dikemas kini sehingga 12 Februari 2011.



“Daftar pemilih itu mengandungi 8,999 pemilih berdaftar merangkumi 8,984 pemilih biasa dan 15 pemilih pos. SPR juga menetapkan Majlis Perbandaran Temerloh sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di sini, malam tadi.

Katanya, SPR turut bersetuju menubuhkan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang diketuai seorang pegawai penguat kuasa bagi setiap pasukan.

Abdul Aziz berkata, 10 sekolah, dua balai raya dan sebuah dewan digunakan sebagai pusat yang akan mengandungi 22 saluran tempat mengundi dengan ia akan dikendalikan 242 petugas pilihan raya diketuai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Pilihan raya kecil Kerdau perlu diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Dewan Negeri (ADUN), Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, akibat penyakit jantung, 12 Februari lalu.

Allahyarham menang kerusi DUN Kerdau pada Pilihan Raya Umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim dan kawasan berkenaan mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, enam peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus lain-lain kaum.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau juga dianggarkan membabitkan perbelanjaan RM915,000. Yang Dipertua Majis Perbandaran Temerloh, Datuk Tarif Abdul Rahman dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya berkenaan.

Sumber : BH

Monday, February 14, 2011

Masa Kami Bersama Begitu Singkat - Rozlifah

TEMERLOH: Balu kepada wakil rakyat Kerdau, Rozlifah Ahmad terkilan kerana tidak dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama suaminya, allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

“Saya akan merindukannya memandangkan kami tidak banyak menghabiskan masa bersama. Saya mengakui yang jadualnya ketat dan masanya banyak dihabiskan untuk program undi di Kerdau,” katanya.

Zaharuddin yang berkahwin dengan Rozlifah, seorang guru agama berumur 33 tahun dan ibu tunggal kepada seorang anak pada Ogos tahun lepas.

Dia mempunyai lima anak dengan isteri pertamanya, Azizah Mohamad Noor, yang meninggal dunia empat tahun lepas.

Rozlifah berkata dia sedang menyelesaikan urusan pengajian anak lelakinya di Kuantan apabila Zaharuddin, 64, meninggal dunia.

“Saya menerima satu panggilan telefon daripada Kuala Krau Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said yang memberitahu suami saya telah jatuh bilik air dan dikejarkan ke hospital,” katanya.

Rozlifah berkata walaupun masa yang diluangkan bersama begitu singkat, Zaharuddin sentiasa mengingatkannya supaya bersikap positif pada sepanjang masa dan nasihat itu akan membantunya menghadapi kehilangan suaminya.

Anak perempuan sulung Zaharuddin, Ellis Jusfeena, 39, berkata dia dan adik-beradiknya merancang berhimpun pada Sabtu lepas untuk majlis kesyukuran tetapi ditangguhkan beberapa kali disebabkan jadual padat Zaharuddin.

“Bagaimanapun , apabila kami mendapat masa yang sesuai, dia meninggal dunia,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggambarkan Zaharuddin sebagai seorang pemikir yang telah banyak memberi sumbangan dari segi pentadbirannya dalam tempoh Najib menjawat jawatan Menteri Besar Pahang dari 1982 untuk 1986.

Najib berkata kehilangan Zaharuddin merupakan satu kehilangan peribadi kepada beliau.

“Kami pernah bertukar idea terutama tentang ehwal semasa,” Najib berkata selepas memberi penghormatan terakhir kepada Zaharuddin dan menyampaikan ucapan takziahnya kepada keluarga allahyarham di rumah mereka di sini.

Zaharuddin telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Taram pada 12.30 tengahari semalam.

Najib, yang tiba di 11 pagi meluangkan kira-kira 40 minit di situ dan solat jenazah dengan keluarga Zaharuddin.

Zaharuddin, yang jatuh di bilik air di rumah beliau di Kerdau pada 6.30 petang Sabtu, dikatakan mengalami serangan jantung.

Dia dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah Hospital pada 7.10 petang dan disahkan meninggal dunia.

Terdahulu pada 1.30 pagi, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar memberi penghormatan terakhirnya kepada Zaharuddin di hospital itu sebelum dibawa ke rumah.

Turut hadir Speaker Dewan negeri Datuk Seri Wan Razali Wan Mahussin, Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani , dan ahli-ahli exco kerajaan termasuklah Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Mohamad Sahfri Abdul Aziz.

Mentri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, yang berada di luar negeri berkata dia telah kehilangan seorang kawan setia dan disayangi.

Adnan dalam Sistem pesanan ringkasnya berkata: “Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga. Saya mengenali beliau sudah 40 tahun dan pada ketika ini saya tidak bercadang memberi pandangan pada pilihan raya kecil akan datang,” dia menambah.

Ehsan : mstar

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails