Thursday, February 3, 2011

Dr Mahathir seorang yang bijak - Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan mencadangkan kebijakasanaan beliau itu digunakan untuk Islam.

"Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan khasnya bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir."

Beliau menjawab serangan Mahathir kepada beliau ekoran keengganan Nik Aziz turut menyerang Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat Islam mengurangkan keislaman mereka.

"Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew," kata Nik Aziz dalam tulisannya itu.

Berikut adalah tulisan Nik Aziz sepenuhnya.

Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?
Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)


HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

Ehasan : harakahdaily

Penangan Mat Karpet


“Disebabkan ibu tak mampu membayar hutang karpet kira-kira RM3,000, saya terpaksa berkahwin dengan lelaki Pakistan yang menjual permaidani itu untuk melangsaikan hutang.

“Namun, selepas berkahwin pada Mac lalu, baru saya tahu dia tidak jujur kerana selepas enam bulan, suami meninggalkan saya tanpa khabar berita,” kata seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Hashimah, 29.


Dia yang kesal berkahwin dengan Mat Karpet itu berkata, semuanya bermula selepas ibunya membeli empat helai karpet daripada lelaki asing itu, tiga tahun lalu.


“Ibu saya beli secara bayaran ansuran RM30 sebulan, itu pun jika ada duit. Malangnya, ibu gagal membayar ansuran selama dua tahun sehingga bunga semakin meningkat.


“Lelaki terbabit meminta ibu menjelaskan hutangnya. Apabila ibu memberitahu dia tak ada duit, lelaki itu minta dikahwinkan dengan saya sebagai syarat untuk melangsaikan semua hutang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kuala Kedah, di sini, semalam.


Hashimah berkata, kerana tiada pilihan selain bimbang nasib keluarganya terancam dia hanya mengikut kata-kata lelaki itu dan keluarganya.

Menurutnya, majlis pernikahannya diadakan secara kecil-kecilan dengan dihadiri saudara-maranya serta beberapa rakan lelaki itu.


“Majlis kenduri termasuk akad nikah diadakan di rumah saya dan ia dibuat secara kecil-kecilan,” katanya.


Menurutnya, pada awal perkahwinan tiada apa berlaku, tetapi selepas enam bulan, baru dia tahu yang suaminya mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil perniagaan karpet.


“Dia beli sehelai karpet daripada rakannya RM65, tetapi menjualnya kepada orang kampung sehingga RM400 dengan mendakwa ia berkualiti selain sukar didapati di negeri ini. “Saya anggap ibu dan ramai penduduk kampung yang membeli karpet daripada suami saya tertipu,” katanya.


Hashimah yang bekerja di sebuah pasar mini, dekat sini, berkata sejak itu dia mula meragui suaminya, malah mendakwa penjual karpet dari Pakistan datang ke negara ini hanya untuk berkahwin dengan gadis tempatan sebelum meninggalkan mereka.


“Apa yang berlaku ke atas saya mengaibkan, namun saya sedia mendedahkan untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya tidak mengalami nasib sama,” katanya.


Sementara itu, Harian Metro turut menemubual seorang Mat Karpet warga Pakistan di Jitra yang ketika itu rancak menjual permaidani kepada penduduk di Kampung Padang Sera, di sini.


Mat Karpet yang dikenali sebagai Bakti, 47, itu berkata, dia sudah lama menjual karpet di bandar ini, Jitra dan Perlis dengan menunggang motosikal sendirian sejak 20 tahun lalu sehingga mendapat taraf kerakyatan negara ini.


Katanya, karpet yang dijualnya itu buatan China yang dijual RM300 hingga RM500 sehelai dan pelanggan akan membayar ansuran RM30 hingga RM40 sebulan kerana tidak berkemampuan.


“Ada juga pelanggan tidak membayar ansuran bulanan, tetapi saya kasihan kerana ramai antara mereka orang susah.


“Ramai juga rakan saya yang menjual karpet berkahwin dengan gadis tempatan kerana ibu bapa mereka tidak mampu membayar hutang dan itu cara untuk melangsaikan hutang,” katanya yang mengakui lebih 10 rakannya menjalankan kegiatan menjual karpet di negeri itu.


Bakti mengakui harga sebenar karpet dijualnya jauh lebih murah, tetapi disebabkan mahu mengambil untung dan kos pengangkutan dia menjualnya pada harga tinggi.


Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail mengesahkan menerima lebih 20 aduan penduduk tempatan yang tidak puas hati dengan peniaga karpet, kebanyakannya rakyat Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.


“Bagaimanapun, kes membabitkan peniaga karpet dari Pakistan yang dikesan bernikah dengan gadis tempatan hanya dua iaitu di Kulim dan Kuala Kedah,” katanya.


Yusoff berkata, lelaki warga asing terbabit kebiasaannya menjual karpet pada harga dua kali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran walaupun tidak bermutu tinggi.


“Biasanya, mereka akan memujuk pelanggan supaya membeli karpet dan boleh membuat bayaran secara ansuran serendah RM20 setiap bulan.


“Kes ini kebanyakannya dikesan di luar bandar membabitkan pembeli yang tidak mampu membeli secara tunai. Apabila mereka gagal melunaskan hutang, Mat Karpet memberi pilihan supaya dikahwinkan dengan anak gadis mereka dan semua hutang termasuk bunga yang tinggi dikira selesai,” katanya.

Ehsan : hmetro

Thursday, January 20, 2011

ADUN Merlimau meninggal dunia

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia hari ini setelah tenat selepas mendapat rawatan serangan jantung.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd Yusof kepada Utusan Malaysia selepas menerima berita itu daripada Pengarah SPR Melaka.

Thursday, January 13, 2011

Lopak Berlobang

Pengguna jalan raya bagi laluan di Kilometer 106 Jalan Maran-Jerantut dekat Lubuk Ujid, Sungai Yeh di sini meminta pihak berkenaan menyegerakan kerja membaiki kerosakan teruk pada jalan itu.

Seorang pengguna, Mohd Zaki Ahmad, 27, berkata, kerosakan teruk paling ketara bermula dari selekoh yang menyambungkan jalan lama di penghujung laluan baru Kampung Orang Asli Batu 55.

Menurutnya, jalan raya yang sempit dengan kerosakan di kedua-dua hala laluan itu sehingga ke bahagian bahu jalan menyebabkan pengguna terpaksa berhati-hati bagi mengelak sebarang risiko kemalangan daripada berlaku.

“Apabila terdapat banyak lopak dan permukaan jalan raya mendap, pemandu kenderaan akan mengelak dan ini amat berbahaya terutama jika bertembung dengan kenderaan dari laluan bertentangan.

“Keadaan bertambah buruk apabila musim hujan yang mengakibatkan air bertakung,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang mangsa kemalangan di laluan itu, Che Mat Che Lah, 45, berkata, laluan sempit mengundang risiko bahaya kepada pengguna apabila masing-masing akan tersasar memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, permasalahan itu bukan perkara baru dan berlarutan sejak 10 tahun lalu walaupun ada tindakan membaiki kerosakan termasuk menampal lubang di permukaan jalan.

“Kenderaan berat yang penuh dengan muatan turut menggunakan laluan ini maka kerosakan menjadi teruk dengan permukaan jalan raya mendap.

“Kerosakan ini perlu di naik taraf dengan segera demi keselesaan pengguna,” katanya.

Ehsan : Sinar Harian

Ermmm...benar sebenar-benarnya kisah tragis di atas perlukan perhatian yang serius dari pihak berwajib. Bukan hanya jalan Maran - Jerantut tetapi jalan Kg. Awah Ke Bandar Tun Razak Jengka juga mengalami nasib yang sama. Bangga dengan nama Bandar Tun Razak Jengka namun penampilan yang dilihat antara perjalanan sebelum sampai ke Bandar Tun Razak Jengka bukan setanding dengan namanya.

Bukan hanya sempit dan menyempitkan malah berlobang dengan lopak-lopak yang semakin lama semakin membesar kelopakkannya dan ini menimbulkan kesukaran kepada pengguna-pengguna jalan tersebut, puas mengelak kekiri dan kekanan bimbang melanggar lopak-lopak.

Bagi pengguna yang menggunakan kenderaan yang kecil dan sederhana akan terasa tersiksa apabila melanggar lopak tersebut, mana tidaknya bergegar seluruh kenderaan dan ada juga yang mengalami pecah tayar. Agaknya mereka-mereka yang berwajib tidak berasa akan lopak-lopak disepanjang perjalanan mereka, ini mungkin kerana kenderaan yang dinaiki berupa kenderaan mewah yang kedap dan sedap dinaiki. Mana mungkin terasa gegaran sebagaimana mereka yang menaiki kenderaan sederhana.

Mungkin disebabkan itu maka tiada tindakan dari pihak berwajib atau pihak berwajib tahu tapi buat-buat tak tahu....entahlah kita hanya mentimun....hiris-hiris buat ulam pun sodap.

Muktamad : Gunakan Talian Hayat...

Selepas 13 tahun berlalu, Umi Hafilda hari ini muncul semula di khalayak ramai dengan mengugut untuk menyaman Anwar Ibrahim dan abang kandungnya Azmin Ali.

Adalah tidak jelas kenapa Umi Hafilda menunggu begitu lama untuk mengambil tindakan menyaman Azmin, Anwar, Parti PAS serta beberapa pihak lain untuk RM700 juta.

Pada perbicaraan Anwar tahun 1998, mahkamah diberitahu Umi Hafilda diberi sebuah projek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sebuah lagi projek anti dadah bernilai RM2 juta.

Kali ini beliau mendakwa tindakan samannya dibuat sebagai ahli Umno yang setia dan ingin menyelamatkan negara. Umi Halfilda mengadakan sidang akhbar untuk mengumumkan beliau akan menuntut RM300 juta daripada Anwar dan abangnya Azmin Ali.

Umi Hafilda berkata baki wang RM400 juta akan dituntut dari PAS, peguam Karpal Singh dan Datuk Seri Dr Wan Azizah. Namun Umi mengakui peguamnya belum memutuskan tindakan mahkamah yang bakal diambil.

" Peguam saya ada kata mungkin akan menyaman kerajaan tetapi saya dilema di situ, nawaitu saya nak selamatkan negara, selamatkan bangsa, tapi lepas itu saya terpaksa saman kerajaan," katanya.

Umi Hafilda mengaitkan tindakannya kepada kes Anwar pada tahun 1998 yang dibidas hebat di dalam dan luar negara sebagai perbicaraan yang menghalalkan penggunaan bukti direkacipta untuk mensabitkan mantan timbalan perdana menteri itu.

Pada perbicaraan itu, Umi Hafilda mengaku beliau mendapat projek dan imbuhan, hari ini Umi Hafilda menegaskan beliau bertindak sebagai ahli Umno yang mahu menyelamatkan negara.

"Saya asak Pak Lah juga dalam blog saya, saya ahli Umno yang mempunyai prinsip, kita rakyat kita berhak menegur pemimpin, kita bukan nak membodek pemimpin. Apa yang berlaku hari ini, cium tangan cium tangan, jadi pemimpin tak dapat signal yang jelas. Salah satu sebab Umno digambarkan begitu negatif kerana orang dalam sendiri yang membuatnya jadi negatif," katanya.

Sementara itu menurut Ketua Srikandi PKR , Siti Aisyah Shaikh Ismail berkata kemunculan Umi Hafilda adalah watak kitar semula Umno yang semakin lemas dengan gelombang kebangkitan rakyat.

"Saya sering memandang isu ini sebagai isu terdesak daripada UMNO yang mana mewujudkan kembali watak-watak lama yang dikira tidak relevan lagi buat masa ini, untuk mengugat kestabilan Pakatan Rakyat selepas mereka melihat gelombang kebangkitan rakyat khususnya menjelang PRU 13," katanya.

Seperti tahun 1998, Umi sekali lagi menyerang Anwar dan ahli keluarganya sendiri dengan mendakwa mempunyai bukti-bukti mengenai salah laku mereka.

Sekali lagi beliau tidak menjelaskan kenapa bukti-bukti ini tidak diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat sepanjang 13 tahun yang lalu.

"Umi Hafilda sepatutnya tampil dalam keadaan matang bukannya tergesa-gesa menunjukkan bahawa dia dianiaya, kalau betul dia dianiaya, selepas DSAI dibebaskan dari penjara dia harus manfailkan dia turut teraniaya," katanya.

Umi Hafilda tidak berbuat demikian. Sebaliknya menunggu lebih enam tahun untuk sekali lagi mengkitar semula tohmahan dan dakwaan-dakwaan terhadap Anwar dan ahli keluarganya, kali ini sebagai ahli Umno yang setia.

Ehsan : tvselangor

Thursday, January 6, 2011

3 Perkara Yang Perlu DiSegerakan

Sabda Rasulullah saw,

ثلاثة يا على لا تؤخرهن : الصلاة إذا أتت , والجنازة إذا حضرت ,
ولأيم إذا وجدت كفؤا

Maksudnya : "Wahai Ali, ada tiga perkara janganlah di lewat-lewatkan. Yang pertama : Solat apabila telah masuk waktunya, yang kedua : Jenazah apabila telah hadir dan yang ketiga : anak dara apabila telah ada orang sekufu dengannya”.

Dalam hadis ini Nabi saw menyatakan ada tiga perkara jangan di lengahkan. Yang pertama apabila telah masuk solat, maka bersegeralah menunaikannya.

Dalam sebuah hadis dari Abdullah bin Mas'ud r.a, seorang sahabat telah bertanya Nabi saw :-

. أي العمل أفضل ؟ قال : الصلاة على ميقاتها قلت : ثم أي ؟ قال : ثم بر الوالدين . قلت : ثم أي ؟ قال : الجهاد في سبيل الله

Maksudnya : "Amalan manakah yang paling utama? Nabi saw menjawab : Bersolatlah pada waktunya. Aku berkata : kemudian apa? Nabi bersabda : berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa. Aku berkata : kemudian apa lagi?. Nabi bersabda : berjihad dijalan Allah" ( HR Bukhari)

Para ulama sepakat menyatakan hukumnya adalah HARAM bagi seseorang yang melewatkan solatnya sehingga habis waktu, tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara' seperti seseorang yang berniat untuk melakukan jama' takhir ketika bermusafir atau terlalu letih atau tertidur dan sebagainya.

Namun begitu bagi mereka yang mahu melewatkan solat atas alasan seperti yang dinyatakan tadi, janganlah sampai melakukannya di dalam waktu yang diharamkan seperti menunaikan solat Asar sewaktu matahari sudah kuning-kuningan.

Yang kedua, Nabi saw menyuruh kita agar segera mengkebumikan jenazah iaitu apabila jenazah itu telah selesai dimandi, dikafan dan di sembahyangkan. Sabda Rasulullah saw,

أسرعوا بالجنازة فإن تك صالحة فخير تقدمونها إليه وإن تك سوى ذلك فشر تضعونه عن رقبكم

Maksudnya : "Hendaklah kamu segera mengkebumikan jenazah(mayat), jika jenazah itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan, dan jika jenazah itu tidak baik bererti kamu melepaskan kejahatan daripada tengkok kamu". (Muttafaqun Alaihi)

Dan yang ketiga, Nabi saw menyuruh agar ibu bapa yang mempunyai anak gadis supaya menyegerakan pernikahannya jika sudah ada orang yang sekufu meminangnya. Ia bertujuan untuk mememilhara dirinya dari maksiat dan fitnah.

Kalau hendak diikat dengan tali pertunangan, janganlah memakan masa yang lama sehingga dua, tiga atau empat tahun kerana bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak elok seperti maksiat dan sebagainya. Paling baik ikatan pertunangan hanya memakan masa enam bulan atau setahun.

Ibu bapa perlu ingat, bertunang bukan lesen untuk membenarkan anak-anak gadis keluar dengan lelaki tunangannya. Pasangan yang sudah bertunang dan ingin mendirikan rumahtangga hendaklah memelihara tingkah laku mereka kerana aman damainya rumahtangga bergantung kepada apa yang telah mereka lakukan sebelum berkahwin.

Sumber : usthjhishamuddinmansor

Friday, December 31, 2010

Kepulangan Disambut Meriah

BONUS lumayan – sekitar RM25,000 – menunggu wira skuad Harimau Malaya pimpinan K Rajagobal yang mengerah keringat habis-habisan menamatkan kemarau 14 tahun menjuarai Piala Suzuki AFF di Jakarta, kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata presiden persatuan, Sultan Ahmad Shah akan membuat satu pengumuman penting mengenai ganjaran menarik itu setibanya pulang ke tanah air, minggu depan.

“Tuanku seorang yang sangat bermurah hati dan tidak berkira dengan pemain negara. Apa yang pasti bonus bakal diterima pemain kita nanti agak tinggi,” katanya selepas menyambut skuad negara yang pulang ke tanah air, semalam selepas menewaskan Indonesia dalam final di Stadium Gelora Bung Karno.

Angka besar yang bakal menggembungkan kocek pemain negara itu berpandu kepada perkiraan kasar hadiah kemenangan AS$100,000 (RM308,450).

Andai dibahagikan sama rata kepada 22 pemain serta RM5,000 setiap orang daripada Kementerian Belia dan Sukan dan RM4,000 setiap orang menerusi Tabung Akujanji Ganjaran Skuad Negara setakat ini.

Berpandu kepada kejayaan bersejarah itu, angka itu mungkin bertambah dengan FAM juga mungkin bermurah hati menambah wang sendiri buat menceriakan pemain kebangsaan sebagai satu penghargaan mengharumkan nama badan induk itu di pentas global.

Sementara itu, Azzuddin berkata skuad negara akan dikekalkan namun dalam masa yang sama tidak menutup pintu memasukkan lebih ramai bakat baru pada masa depan.

'Kami perlu sokongan padu media, masyarakat untuk jadi skuad digeruni'

Pada firasat K Rajagobal, skuad bola sepak negara yang baru menjuarai Piala Suzuki AFF mustahil dapat berkembang maju tanpa sokongan padu media dan masyarakat.

Pengendali skuad kebangsaan itu menambah barisan muda bergelar Harimau Malaya ini amat memerlukan elemen berkenaan ketika dia menilai barisan didiknya itu ada ramuan menjadi sebuah pasukan yang bakal digeruni. “Ini baru permulaan kepada perjalanan yang masih panjang,” kata pengendali kebangsaan, K Rajagobal yang menjadi tulang belakang kepada dua kejuaraan berturut-turut, termasuk memenangi pingat emas Sukan Sea 2009 di Laos.

“Kemenangan tidak datang setiap masa, ada masanya kita akan kalah. Tetapi hanya dengan sokongan padu media dan masyarakat, pasukan kita terutama barisan muda ini akan berkembang menjadi sebuah pasukan handalan di rantau Asia.”

Mungkin ada sesuatu yang boleh dipelajari dari Indonesia ketika sokongan padu seluruh warga negara republik itu kepada skuad Garuda memberi impak besar kepada cabaran pihak lawan itu. Ia harus dicontohi rakyat Malaysia.

Apapun, perjalanan Malaysia menjuarai Piala Suzuki yang bermula dengan keaiban dibelasah lawan 5-1 pada 1 Disember lalu boleh disamakan dengan laluan Sepanyol sebelum muncul juara Piala Dunia 2010, Julai lalu - cuma dalam skala lebih kecil.

Kehadiran sotong kurita bernama Gudel yang meramalkan kemenangan Indonesia sehari sebelum perlawanan, trumpet vuvuzela di Stadium Gelora Bung Karno dan aksi final Malaysia-Indonesia yang belum pernah bergelar juara layak disamakan dengan aksi Sepanyol-Belanda di Afrika Selatan.

Fahmi tahu rahsia kapten Indonesia

KHAIRUL Fahmi Che Mat mengulangi betapa dia menghargai teguran penting K Rajagobal tempoh hari ketika menyelamatkan sepakan penalti Indonesia pada minit ke-18 yang menjadi penentu kejayaan skuad negara menjulang trofi Piala Suzuki, malam kelmarin.

“Saya masih ingat apa coach kata - “Fahmi, penalti Indonesia biasanya akan diambil kaptennya, (Firman Utina). Dua kali sebelum ini dia tendang ke kanan, iaitu ke kiri kamu, tetapi dalam permainan nanti kamu boleh buat keputusan sendiri.” Saya pegang kata-kata itu dengan baik, kata penjaga gol utama negara itu.

Dia tidak menolak kemungkinan selepas menyelamatkan gawang pasukan, dia dan rakan bertambah semangat untuk mempertahankan kedudukan agregat 3-0 ketika itu dan ia mengubah wajah cabaran skuad. Ketika Firman tampil untuk mengambil sepakan, latihan ketika di Wisma FAM sebelum berangkat ke Jakarta terbayang di mindanya. Hasilnya, sepakan Firman tepat ke kanan Fahmi dan dia dengan mudah menafikan gol awal Indonesia.

“Kejayaan menyekat sepakan penalti itu menambah lagi keyakinan kami untuk terus mempertahankan gawang negara,” kata Fahmi yang menjadikan bekas penjaga gol Azmin Azram dan Shahizan Ismail sebagai idolanya.

“Saya masih ingat pesan Rajagobal pada sesi latihan lalu. Ternyata ramalannya tepat. Saya berterima kasih kepada jurulatih yang banyak memberi tunjuk ajar kepada kami sehingga menjadi juara.”

Fahmi yang meraih gelaran kedua, musim ini selepas membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia berkata kejayaan pasukan negara bukan kerana faktor dia sahaja malah menghambur pujian kepada rakan barisan pertahanan yang turut berfungsi hebat.

“Saya harap kejayaan ini tidak berhenti setakat ini. Masih banyak kejohanan yang perlu diharungi dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak negara. Ini baru permulaannya,” kata Fahmi.

Sumber : bharian

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails