Friday, December 17, 2010

Sempat Ke Pilihanraya Kecil atau Terus PRU 13?

ADUN Tenang, Sulaiman Taha meninggal dunia

ADUN Tenang, Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada jam 1.10 awal pagi ini. Allahyarham berusia 59 tahun.

Allahyarham meninggalkan isteri Seri Noraini Yaakop, 6 anak perempuan dan seorang lelaki.

Menurut Umno Online, Allahyarham diirawat di Hospital Ampang Puteri kerana penyakit kencing manis sejak 24 November lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menjalani rawatan lanjut.

Sebelum ini, dilaporkan Allahhyarham yang juga ketua Umno Labis dimasukkan ke Hospital Segamat selepas mengadu tidak sihat dan terlantar hampir sebulan.

Pada 24 November lalu, Allayarham memohon dipindahkan ke hospital swasata di ibu negara itu.


Tenang dilihat sebagai kubu kuat Umno dan pada pilihan raya umum 2008, apabila Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.

Menurut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya 2008, Tenang mempunyai 49.66 peratus pengundi Melayu, manakala Cina 38.13 peratus, India 12.11 peratus dan bangsa-bangsa lain 0.10 peratus.

Awal petang semalam, Bernama memetik setiausaha Umno Labis, Abdul Razak Abdul Rashid, sebagai berkata Sulaiman dirawat di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur kerana menghidap penyakit kencing manis dan dalam keadaan stabil.

Katanya, Sulaiman, 59, menghidap demam biasa sekembalinya daripada menghadiri majlis sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor pada petang 23 November dan dimasukkan ke Hospital Daerah Segamat pada hari yang sama setelah doktor mendapati kadar kandungan gula dalam badannya tinggi.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang Puteri pada hari berikutnya dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk menjalani rawatan selanjutnya.

Abdul Razak berkata beliau difahamkan oleh pihak hospital keadaan Sulaiman adalah stabil namun perlu menjalani rawatan lanjut kerana disyaki terdapat kuman dalam darahnya.

Ehsan : malaysiakini

Tuesday, December 7, 2010

2 Tokoh Berbeza...pelik tapi benar

Datuk Dr Haron Din Tokoh Maal Hijrah Selangor

Datuk Dr Haron Din dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor 1432H dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Negeri, di sini malam tadi, sebagai pengiktirafan pada penglibatan beliau dalam bidang dakwah sejak sekian lama.

Anugerah itu disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum itu berkenan melancarkan sambutan awal tahun Islam serta meluncurkan sebuah buku bertajuk Solat Rasul terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ketika ditemui seusai majlis, Dr Haron, 70, berkata, anugerah itu merupakan satu motivasi terhadap dirinya yang terlibat dalam bidang dakwah sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih atas pengiktirafan Kerajaan Negeri Selangor ini, meskipun saya tidak pernah impikannya namun bila sudah ditakdirkan, saya menerima dengan sepenuh hati," jelasnya kepada media.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan Mufti Selangor, Datuk Seri Mohamad Tamyez Abdul Wahid.

Menjelaskan tentang pandangan negatif masyarakat kepada golongan ulamak, Dr Haron menjelaskan, sebenarnya rakyat dan masyarakat awam tidak mengenali siapa dan yang mana satu ulamak kerana tidak banyak pendedahan berlaku di media perdana khasnya.

Membandingkan dirinya sendiri yang banyak diberikan peluang untuk siaran di televisyen sebelum ini, menyebabkan orang ramai termasuk golongan muda tetap mengenali dan memberikan penghormatan sebaiknya.

"Jadi tidak timbul masalah kalangan muda tidak menghormati ulamak kerana yang sebenarnya mereka belum mengenali siapa ulamak itu," ujarnya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS.

Justeru, tegasnya, peranan ulamak ini mesti diinstitusikan agar mereka dapat menjalankan kewajipan mendidik rakyat dan anggota masyarakat dengan lebih baik lagi.

Menyentuh tentang peranan ulamak muda dan golongan tua, beliau menjelaskan, itu hanya istilah untuk menunjukkan usia dan tempoh mereka mendidik masyarakat sahaja, tidak lebih dari itu dan semua pihak mesti berperanan dalam masyarakat.

Dr Haron memulakan pengajiannya di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah, Perlis dan Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor seterusnya mengambil Sijil Tertinggi Kolej - Kolej Islam Malaya pada 1962 hingga 1965), lulus dengan cemerlang dan mendapat hadiah biasiswa persekutuan terus ke Mesir.

Menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah - University Al-Azhar (1966-1968), Diploma Pendidikan - ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968) dan Ph.D Syariah - Universiti Darul - Ulum Qahirah (1972-1974).

Antara kerjayanya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975–1976), Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985), Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.

Juga menjadi Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti, Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan.

Begitu juga sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd, Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Dalam politik, pula sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, sehingga kini sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS serta pernah bertanding di dalam pilihan raya 2004 di Parlimen Arau mewakili PAS.

Dr Haron Din adalah Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (DarusSyifa') yang terletak di Bangi.

Zeti Aziz diumum Tokoh Maal Hijrah

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Datuk Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dipilih menjadi penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 pada tahun ini.

Ketokohan dan kejayaan beliau dalam memimpin sistem kewangan negara telah mendapat perhatian dunia.

Beliau juga berjaya mengangkat negara sebagai pusat kewangan dan perbankan Islam yang unggul.

Sultan gesa bersatu atas kalimah tauhid

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menggesa umat Islam khususnya rakyat di negeri ini supaya menggerakkan usaha mewujudkan umat Islam bersatu padu atas ‘kalimah tauhid’.

Ini penting bagi merealisasikan status umat Islam sebagai ‘khaira ummah’ dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang di akhirat kelak.

Baginda mengajak umat Islam supaya sedar dan insaf bahawa tanggungjawab besar itu tidak akan berjaya dicapai tanpa perpaduan dan persaudaraan di kalangan ummah.

“Sudah tiba masanya kita sebagai satu ummah melaksanakan muhasabah diri dan menilai semula tahap perpaduan yang diamalkan di kalangan umat Islam pada hari ini, sekaligus melakukan anjakan perubahan atau ‘penghijrahan’ ke arah suatu tahap yang lebih baik dalam aspek hubungan sesama manusia,” titah baginda pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1432 Hijriah di Balai Islam, Lundang dekat sini, malam tadi.

Baginda mengajak rakyat dan umat Islam supaya sama-sama menghayati ruh dan semangat perjuangan ‘hijrah’ yang telah diteladani dari Junjungan Besar Nabi Muhammad khususnya dalam aspek perhubungan dan persaudaraan sesama Islam dan masyarakat bukan Islam.

“Sejarah Hijratul Rasul sendiri telah membuktikan kejayaan kita menempa kegemilangan hasil kerjasama erat antara kaum Ansar dan Muhajirin.

“Di hadapan kita terbentang masa depan yang tidak diketahui untung nasibnya, bergantung kepada fungsi dan peranan masing-masing. Kita semua bakal mencorakkan wajah kejatuhan atau kebangkitan semula umat Islam,” titah baginda.

Pada sambutan Hijratul Rasul bertema “Satu Ummah, Satu Matlamat” itu, baginda turut menekankan komitmen ummah dalam amalan sunnah yang merupakan kunci kekuatan dan kejayaan dalam mendidik ruh dan hati supaya menjadi baik, tenang dan bersangka baik.

Bagi menjunjung kegemilangan Islam, baginda menaruh penuh harapan agar umat Islam sama-sama berusaha mengembalikan kemuliaan umat Islam dan bangsa dengan bertaqwa kepada Allah.

“Dengan semangat Hijrah untuk memartabatkan umat Islam di negeri Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya, marilah kita membangunkan masyarakat dengan budaya Islam yang unggul iaitu ‘faqiihan’, ‘rahiiman’, ‘ilman’ dan ‘salaaman’ dalam menelunsuri kehidupan masa depan kita yang kian mencabar,” titah baginda.

Ehsan : Harakahdaily

Monday, December 6, 2010

Badi Penyapu

Khir Toyo Mangsa "Drama" Umno?

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap pendakwaan terhadap Khir Toyo atas tuduhan rasuah tidak didalangi oleh agenda politik Umno semata-mata.

Beliau berkata pihak yang mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa harus diheret ke mahkamah demi mendapatkan keadilan, dan bukan atas kepentingan politik sesuatu pihak.

" Saya berharap mereka-mereka yang menyalahgunakan kuasa atau rasuah akan mendapat keputusan yang terbaik oleh mahkamah supaya menjadi satu halangan kepada semua yang ingin mencubanya kemudian. Saya (juga) harap ini bukan sebagai satu drama hanya untuk menunjukkan bahawa Umno sudah mula bertaubat dan membersihkan orang-orang mereka," ujar Khalid.

Kebimbangan Tan Sri Khalid berpaksi kepada hakikat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini turut mengheret beberapa "jerung” ke mahkamah tetapi gagal mensabitkan tuduhan rasuah ke atas mereka.

Antara mereka ialah bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gadam dan Pengerusi Perwaja Tan Sri Eric Chia.

Kasitah dibebaskan pada tahun 2009 manakala Eric Chia terlepas dari hukuman pada tahun 2007.

Hakim dalam kedua-dua kes menegur pendakwaan kerana gagal memanggil saksi-saksi penting, sehingga menjadikan kes terhadap dua tokoh itu rapuh.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago percaya pendakwaan Khir Toyo berkait rapat dengan sifir politik Perdana Menteri, Najib Razak untuk mengadakan pilihanraya umum tidak lama lagi

" Apabila Tun Abdullah, sebelum dia panggil PRU12, apa yang dia buat beliau menangkap Kasitah Gaddam untuk menunjukkan kerajaan tidak takut ambil tindakan terhadap anggota-anggota BN. Adakah ini suatu lagi tindakan 'public relation'? soal Charles.

Sementara itu, ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa Umno tidak harus menanam tebu di bibir apabila memperkatakan mengenai prinsip amanah dan ketelusan.

" Kalau kerajaan BN yang baru berikrar semalam mereka akan bertungkus lumus menjaga kebajikan rakyat, maka buktikan. Khir Yoyo didakwa di mahkamah, dan sekiranya bersalah," tegas Zuraida.

Menteri Besar Termuda Selangor Terpalit Rasuah

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa di mahkamah hari ini dikaitkan dengan pelbagai salah laku sejak beliau dilantik menjadi Menteri Besar termuda dalam sejarah Selangor pada tahun 2000.

Bekas doktor gigi itu dikatakan pernah dituduh mengelak dari membayar cukai, memanipulasi sistem perakaunan anak syarikat kerajaan negeri, dan meluluskan pembelian apartmen mewah di Makkah RM 9 juta yang tidak menepati prosedur.

Beliau juga dilapor mendapat imbuhan kereta mewah dari anak syarikat negeri tetapi tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Malah Khir juga dikatakan menerima hadiah jam tangan bernilai RM150,000 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Bekas menteri besar itu berterusan apabila beliau didakwa melancong bersama keluarganya dan beberapa orang exco kanan ke Disneyland di Paris Peranchis dan Orlando Amerika Syarikat dengan kos hampir RM1.8 juta.

Perkara ini didedahkan dalam siasatan yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sebelum ini.

Kesemua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh Perbadanan Nasional Selangor Berhad (PNSB), dan didedahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairiyah Abu Hassan di dalam penyiasatan SELCAT.

Dalam Umno, Khir yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar pernah dituduh merasuah perwakilan dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda parti itu tahun lepas.

Lembaga Displin Umno kemudiannya bertindak melepaskan beliau daripada dakwaan tersebut.

Pada tahun 2002, aktivis media, Ahmad Lutfi Othman telah menyerahkan senarai panjang kesalahan rasuah Khir kepada Badan Pencegah Rasuah termasuk yang membabitkan tender kontrak-kontrak awam.

Namun Khir terlepas daripada sebarang pendakwaan sehingga hari ini.

Sumber : tvselangor

Friday, December 3, 2010

BN

4-dalam-1: Harga petrol, diesel, gas, gula naik lagi


Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula naik mulai tengah malam ini. Ia berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi.

Petrol RON95, dinaikkan 5 sen menjadikan RM1.90 seliter.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Harga diesel turut naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Semua harga baru berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok. Ia didedahkan pada taklimat kepada editor di Putrajaya oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) .

Kali terakhir harga barangan meningkat adalah pada 15 Julai lalu. Ia membabitkan kenaikan 5-dalam-1. Barangan yang terjejas itu adalah dua gred petrol, diesel, gula dan gas.


Isu Pelantikan TPM : BN Sedar Saat Kekalahan?

Isu pembahagian harta pusaka biasanya hanya didebatkan apabila seseorang sakit teruk atau sudah meninggal dunia. Sekalipun tidak salah, namun jarang sekali isu pembahagian harta pusaka timbul dalam keadaan seseorang dalam keadaan sihat sejahtera. Demikianlah juga apabila isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui negara dibangkitkan oleh media massa milik UMNO. Bagi saya, ia tidak lebih melainkan hanyalah merupakan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional sudah sakit teruk dan tidak mempunyai harapan untuk pulih lagi. Alhamdulillah, media massa milik UMNO sendiri pun nampaknya mulai sedar saat-saat akhir hayat mereka di pentas politik Malaysia. Insya-allah, saya optimis akan tiba juga ketikanya Barisan Nasional akan digantikan oleh Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Berhubung isu perlantikan YB Lim Kit Siang selaku Timbalan Perdana Menteri yang kononnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini. Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik UMNO? ‘Islam plastik’ yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin”. Salah dengar dan salah lapor ialah satu budaya biasa dalam amalan media milik UMNO.

Hari ini, isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik UMNO dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin UMNO segenap lapisan untuk memberikan ulasan. Seolah-olah UMNOlah satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul UMNO dan seolah-olah rebah UMNO bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebarluaskan ke dalam minda masyarakat pada hari ini.

Ingin saya nyatakan, pendirian saya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam. Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWt melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai.

Lupakah kita bahawa UMNO pernah menyerahkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun UMNO yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi UMNO? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini? Peliknya apabila Tun Dr Mahathir sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh.

Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

Sumber : tvselangor

Thursday, December 2, 2010

Penuhkan Kantung Sebelum PRU 13

Kenaikkan harga petrol yang diumumkan secara tiba-tiba malam semalam bertujuan mengisi kantung Umno-Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, tahun depan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail melahirkan kebimbangannya berkata tindakan itu akan menyebabkan rakyat makin sengsara menanggung beban tersebut.

"Dulu kerajaan Umno-BN beri alasan terpaksa menaikkan harga petrol kononnya disebabkan harga bahan mentah itu di pasaran dunia.

"Alasan yang kedua selalu diberikan adalah apabila kadar pertukaran asing melibatkan mata wang Amerika Syarikat telah meningkat. Jadi untuk tidak menanggung kerugian maka kerajaan kata kita terpaksa menaikkan.

Apa yang memusykilkan kata Azan, kedua-dua perkara tersebut tidak berlaku.

"Dari segi pertukaran asing, Ringgit Malaysia lebih kuat maka bermakna sepatutnya kita lagi untung kerana nilai dollar AS jatuh.

"Yang kedua, tidak berlaku pun kenaikkan harga minyak yang besar atau serta merta di pasaran dunia.

"Ini merupakan tanda-tanda Umno-BN bersiap-sedia mengumpul dana dengan tujuan mengadakan pilihanraya," ujar beliau.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata beliau telah menjangkakan kenaikkan tersebut apabila kerajaan Umno-BN menstrukturkan semula subsidi.

"Hasil daripada kesan penstrukturan semula akan menyebabkan harga minyak akan naik dan sudah tentu membebankan orang ramai.

"Ada banyak pendekatan yang banyak dilakukan, sama ada jangka panjang atau pendek. Jangka pendek adalah penstrukturan subsidi minyak kita cadangkan jangan membabitkan semua orang.

Contohnya kata beliau adalah orang berhak mendapat subsidi sepatutnya dikekalkan dan yang berpendapatan tinggi, pemotongan subsidi itu boleh dibuat.

"Bagi orang yang benar-benar perlu subsidi, layaklah dia dapat dan orang yang tidak perlu, ok lah dia mampu naik berapa sen pun tapi dari segi bebanan kesan kitarannya harga barang akan naik yang akhirnya longgokan bebanan itu diserahkan semula kepada pengguna.

"Malah, saya lihat 'trend' harga minyak akan meningkat dan kita jangkakan ianya akan naik lagi sikit demi sedikit kesan daripada penstrukturan semula subsidi tersebut," ujar Mujahid.

Semalam, kerajaan Umno-BN membuat keputusan menaikkan harga petrol RON97 sebanyak 15 sen daripada RM2.15 menjadi RM2.30 seliter yang berkuatkuasa 1 Disember 2010.

Sumber : tvselangor

Tawaran diskaun bagi semua saman trafik yang bermula hari ini adalah bagi meringankan beban rakyat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira rintihan daripada orang ramai berhubung perkara itu dan ia juga selaras dengan saranan pucuk pimpinan "Rakyat Didahulukan".

"Kita mendengar rintihan daripada orang ramai yang mengatakan ada notis yang dihantar tidak sampai kepada tuannya. Kita juga mendengar bahawa pengurangan saman jika tidak diberikan kelonggaran dan sebagainya, ada kes-kes tertentu yang (boleh menimbulkan) tidak adil.

"Tetapi yang paling penting kita menyampaikan mesej yang jelas iaitu yang salah tetap salah (yang melanggar peraturan jalan raya)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Imigresen di Jabatan Imigresen, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rasional tawaran kadar kompaun yang munasabah bagi semua saman trafik mengikut beberapa syarat yang ditetapkan mulai hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman Facebook miliknya, menyebut semua saman yang dikeluarkan pada atau sebelum semalam, kadar munasabah akan diberikan secara automasi melalui semua kaedah bayaran iaitu kaunter PDRM, pejabat pos dan Internet.

Ditanya sama ada keputusan itu berkaitan dengan pilihan raya umum akan datang, Hishammuddin berkata, keputusan mengenai pilihan raya hanya akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Semua perkara yang kita buat adalah proses yang kita lakukan selepas mengadakan perbincangan yang sedalam-dalamnya. Tidak berkisar dengan politik," katanya.

Mengenai dua syarikat berpangkalan di Malaysia yang dinamakan oleh Amerika Syarikat sebagai firma yang dikawal oleh rangkaian Iran untuk membeli teknologi peluru berpandu dari China, Hishammuddin berkata siasatan akan dilakukan jika berkaitan dengan undang-undang dan keselamatan.

Katanya, ini kerana teras perkhidmatan kementerian ialah untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin. - BERNAMA

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts with Thumbnails